Program Ziarah Rakyat Sayangi Lenggong Di Kampung Padang Jeri
GERIK – Isteri Ahli Parlimen Lenggong, Datin Hamisah Hussin, bersama Ketua Zon Kenayat melaksanakan program Ziarah Rakyat Sayangi Lenggong dengan mengunjungi beberapa buah rumah penduduk di sekitar Kampung Padang Jeri serta beberapa buah rumah lain di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program ziarah tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian inisiatif Sayangi Lenggong yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim bersama penduduk setempat serta meninjau keadaan dan keperluan rakyat secara langsung di peringkat akar umbi.
“Isteri saya bersama Ketua Zon Kenayat melakukan Ziarah Rakyat Sayangi Lenggong di beberapa buah rumah sekitar Kampung Padang Jeri dan beberapa rumah lain,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan ziarah dari rumah ke rumah ini amat penting sebagai medium untuk mendengar secara langsung permasalahan dan keperluan penduduk, khususnya mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke program-program rasmi yang dianjurkan di peringkat zon mahupun parlimen.
Shamsul Anuar menambah, setiap maklumat dan aduan yang diterima sepanjang program ziarah tersebut akan disalurkan kepada agensi berkaitan bagi tindakan susulan yang sewajarnya.
Program Ziarah Rakyat Sayangi Lenggong ini merupakan kesinambungan kepada pelbagai inisiatif khidmat masyarakat yang dilaksanakan secara berterusan merangkumi kesemua 33 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Parlimen Lenggong bagi memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada menerima perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

