Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah menyempurnakan Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Tasik Raban, Lenggong, Perak, anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Program ini merupakan salah satu pelantar bagi KDN untuk mendekati rakyat, menyelami denyut nadi komuniti, dan memperkukuh hubungan antara KDN dengan masyarakat pada peringkat akar umbi.
Pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung seperti senamrobik, pertandingan pemancingan, masakan tradisional, mewarna, pemeriksaan kesihatan, jualan Produk SUKA AADK dan Jualan Rahmah, serta pameran pelbagai agensi kerajaan.
KDN melalui AADK dan agensi berkaitan komited untuk mempergiat program intervensi komuniti agar masyarakat, khususnya golongan muda, tidak terjerumus dalam kitaran penagihan.
Program Sua Mesra ini membuktikan keberkesanan pendekatan Malaysia MADANI — bukan sekadar karnival rakyat, tetapi wadah pendidikan sosial yang memperkukuh semangat kebersamaan antara rakyat dengan kerajaan. KDN akan terus turun padang bagi menyantuni rakyat, memperkukuh komuniti, dan membina negara MADANI yang selamat.



