Program Skuad Antidadah Cakna Komuniti Di Kempas
KEMPAS – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, telah menghadiri Program Skuad Antidadah Cakna Komuniti anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor di Kempas, Johor pada hari Sabtu.
Program ini dilaksanakan sebagai usaha memperkasakan peranan komuniti dalam membendung penyalahgunaan dadah, vape dan inhalan di peringkat akar umbi. Turut hadir mengiringi Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Faisal bin Maksom, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor.
Program tersebut menjadi platform untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan “Santuni”, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan bahan terlarang serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan bebas dadah.
Melalui penglibatan Skuad Antidadah, masyarakat turut diberi pendedahan mengenai peranan AADK dalam usaha pencegahan, pendidikan dan bimbingan agar komuniti terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam melahirkan generasi yang lebih sihat, berdaya tahan dan bebas daripada ancaman dadah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama bersama komuniti dalam usaha membina persekitaran yang lebih selamat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah di seluruh negara.

