Program Ramah Mesra Bersama Warga Kerja AADK Negeri Melaka

October 5, 2026

MELAKA – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah mengakhiri siri lawatan kerja ke Negeri Melaka pada 3 Oktober 2026 dengan menghadiri Program Ramah Mesra bersama warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Melaka.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman, dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Zainuddin bin Abdullah.

Program tersebut menjadi medan untuk mendengar, memahami dan melihat sendiri kekuatan serta cabaran yang dihadapi oleh warga kerja AADK dan para sukarelawan dalam melaksanakan amanah pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah.

Dalam amanatnya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menegaskan bahawa ancaman dadah pada masa kini semakin kompleks seiring dengan perubahan gaya hidup, tekanan sosial, pengaruh rakan sebaya, persekitaran digital serta kemunculan bahan-bahan baharu.

Berdasarkan data sehingga Jun 2026, Negeri Melaka merekodkan seramai 4,906 orang penagih dan penyalah guna dadah, terdiri daripada 4,681 lelaki dan 225 wanita. Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 2,705 orang, diikuti Alor Gajah seramai 1,483 orang dan Jasin seramai 718 orang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan menangani isu penyalahgunaan dadah perlu sentiasa disesuaikan dengan perubahan trend, jenis bahan serta keperluan rawatan dan pemulihan, di samping memerlukan ekosistem pencegahan, rawatan dan pemulihan yang kukuh dengan penglibatan menyeluruh semua pihak. Kerjasama AADK bersama rakan strategik seperti PEMADAM, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan SKUAD Antidadah juga perlu terus diperkasakan bagi memastikan agenda memerangi dadah dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help