Program Penanda Aras Aspiring Melaka Geopark Bersama Lenggong UNESCO Global Geopark

July 1, 2026

LENGGONG – Program Penanda Aras Aspiring Melaka Geopark bersama Lenggong UNESCO Global Geopark telah diadakan di Resort Tasek Raban, Lenggong pada Ahad, 29 Jun 2026 jam 8.30 malam.

Program tersebut merupakan inisiatif pihak Kerajaan Negeri Melaka bagi menimba pengalaman serta mempelajari pendekatan dan amalan terbaik Lenggong dalam perjalanan memperoleh pengiktirafan UNESCO Global Geopark, sejajar dengan hasrat Melaka untuk mendapatkan penarafan sebagai Aspiring Geopark Kebangsaan yang disasarkan menjelang Oktober 2026.

Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan delegasi Melaka dan berkongsi pengalaman yang telah membawa kepada kejayaan Lenggong diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark pada 23 April 2026.

“Lenggong kini merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dua pengiktirafan antarabangsa UNESCO, iaitu Tapak Warisan Dunia sejak 2012 dan UNESCO Global Geopark 2026. Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan Badan Pengurusan Geopark Lenggong dengan sokongan padu Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), serta komitmen komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, program penanda aras seumpama ini amat penting bagi memastikan aspirasi geopark baharu dapat memenuhi standard antarabangsa yang ditetapkan oleh UNESCO menerusi International Geoscience and Geoparks Programme (IGGP).

“Saya yakin Melaka mempunyai potensi yang besar dengan 29 geotapak yang telah dikenal pasti melibatkan tiga daerah utama iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah. Perkongsian pengalaman serta panduan daripada Lenggong diharapkan dapat membantu mempercepatkan proses persediaan Melaka ke arah penilaian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Program penanda aras ini turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan aspek pengurusan, pemuliharaan warisan geologi, pembangunan komuniti serta promosi geopelancongan yang mampan.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help