Program Pemuliaan (Pelupusan) Al-Quran Di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban Pulau Pinang

May 11, 2023

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kwpada semua kerana menjayakan program pemuliaan (pelupusan) Al-Qur’an di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang pada pagi ini.

Program seumpama ini merupakan platform terbaik bagi saya untuk bertemu dengan warga Jabatan dan Agensi KDN dan agensi lain seperti pihak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Masjid Seberang Perai Selatan yang turut serta dalam program kali ini.

PENGUMPULAN AL-QUR’AN UNTUK PEMULIAAN (PELUPUSAN) KDN melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) telah mengumpulkan teks Al-Qur’an dan bahan Al-Qur’an untuk dimuliakan (pelupusan) dari masa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha “Ke Arah Sifar Al-Qur’an Tiada Perakuan KDN”. Kaedah pemuliaan (pelupusan) yang dilaksanakan adalah seperti Garis Panduan Pelupusan Teks Al-Qur’an yang telah dikeluarkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Teks Al-Qur’an (LPPPQ).

Tindakan “Ke Arah Sifar Al-Qur’an Tiada Perakuan KDN” telah menghasilkan pengumpulan teks Al-Qur’an dan bahan Al-Qur’an yang perlu dimuliakan (pelupusan) dari masa ke semasa. Pengumpulan teks Al-Qur’an dan bahan Al-Qur’an adalah melalui tiga (3) pendekatan iaitu penguatkuasaan, advokasi dan program komuniti (corporate social responsibility-CSR):

(a) Melalui tindakan penguatkuasaan, pengumpulan teks Al-Qur’an dan bahan Al-Qur’an terhasil daripada rampasan Al-Qur’an yang tiada perakuan KDN daripada penjual, pengimport, pengedar di premis-premis jualan, premis simpanan, pintu-pintu masuk negara dan perniagaan secara dalam talian;

(b) Melalui program advokasi, pengumpulan Al-Qur’an adalah daripada orang ramai yang menyerahkan teks Al-Qur’an tiada perakuan KDN secara sukarela untuk ditukarkan dengan Al-Qur’an yang ada perakuan KDN. Antara advokasi yang dijalankan ialah kempen “Jom Exchange Al-Qur’an” (JEQ); dan

(c) Melalui program komuniti, Al-Qur’an yang rosak akibat bencana dan usang juga dikumpul dan diserahkan kepada KDN untuk dimuliakan (pelupusan) melalui kaedah yang ditetapkan.

PROSES PEMULIAAN (PELUPUSAN)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MRI) Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah membincangkan Pelupusan Al-Qur’an. Muzakarah telah memutuskan bahawa Al-Qur’an yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani (tidak diperakui KDN) hendaklah dilupuskan melalui kaedah yang tertib dan terkawal melalui proses pendebuan dan pelepasan di laut atau ditanam di tempat tersembunyi bagi mengelakkan salah faham orang ramai.

Sebagai panduan kepada proses pemuliaan (pelupusan) yang tertib ini, pihak KDN telah mengeluarkan Garis Panduan Pelupusan Teks Al-Qur’an melalui LPPPQ untuk rujukan umum.

PROGRAM PEMULIAAN (PELUPUSAN) DI PULAU PINANG
Hari ini pemuliaan Al-Qur’an dijalankan melalui kaedah pelepasan abu Al-Qur’an ke laut. Keseluruhan abu bagi pemuliaan pada kali ini dianggarkan seberat 1500 kilogram (1.5 tan). Ini bersamaan dengan anggaran 2750 naskhah Al-Qur’an yang terkumpul melalui tindakan penguatkuasaan, program advokasi dan program komuniti (CSR).

Agensi-agensi dan wakil komuniti yang terlibat pada hari ini termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Bahagian PK KDN dan Masjid Seberang Perai Selatan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan di atas penglibatan dan sumbangan semua pihak.

Sebagai penutup, saya ingin mengajak masyarakat untuk bekerjasama dan bertanggungjawab agar tidak membeli, menjual, mengedar Al-Qur’an yang tiada perakuan KDN dan menyerahkan Al-Qur’an tersebut kepada mana-mana pejabat Bahagian PK KDN di seluruh negara untuk dimuliakan (pelupusan) mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help