Program Pemerkasaan Jaringan Pertubuhan Negeri Melaka Tahun 2026
MELAKA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sukarela merupakan rakan strategik penting kepada kerajaan dalam memperkukuh keselamatan komuniti, memelihara keamanan serta membangunkan modal insan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata demikian ketika menghadiri Program Pemerkasaan Jaringan Pertubuhan Negeri Melaka Tahun 2026 di Ayer Keroh, Melaka pada 3 Oktober lalu.
Program itu menghimpunkan kira-kira 200 orang pemimpin dan aktivis pertubuhan, dan menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan strategik antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan pertubuhan masyarakat.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik JPPM, Shahrizal Nuar @ Anuar dan Pengarah JPPM Negeri Melaka, Nur Faizlin Md Jadi.
Program itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Shamsul Anuar ke Melaka, selepas beliau terlebih dahulu menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga RELA Negeri Melaka di Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM).
Pendekatan memperkasakan jaringan pertubuhan ini dilihat mampu memperluas peranan NGO sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menangani isu sosial dan keselamatan di peringkat setempat.

