Program NCER Rancakkan Ekonomi Rakyat Lenggong
LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir bersama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam program Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) anjuran Kementerian Ekonomi yang berlangsung di Padang Majlis Daerah Lenggong.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendekatkan inisiatif pembangunan ekonomi wilayah kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar seperti Lenggong.
Menerusi program ini, rakyat Lenggong didedahkan kepada pelbagai peluang ekonomi, termasuk inisiatif keusahawanan, peningkatan pendapatan isi rumah dan pembangunan komuniti yang dirancang di bawah koridor ekonomi utara.
Shamsul Anuar berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak amat penting bagi memastikan Lenggong terus menerima manfaat pembangunan yang seimbang dan berterusan.
Beliau turut menyifatkan program seumpama ini sebagai platform terbaik untuk memperkukuh ekonomi setempat, selari dengan potensi Lenggong sebagai destinasi bertaraf antarabangsa dengan dwi-pengiktirafan UNESCO.

