Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti Di Pensiangan, Sabah
PENSIANGAN – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menghadiri pelaksanaan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pensiangan, Sabah pada Sabtu.
Program yang berlangsung pada jam 2.30 petang itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan KDN melalui JPN bagi membawa perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi pengenalan diri secara terus kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang menghadapi kekangan untuk hadir ke pejabat JPN.
Melalui pelaksanaan MEKAR Komuniti di Pensiangan, penduduk setempat berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan JPN secara langsung termasuk semakan status dokumentasi, permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran, penggantian dan pembaharuan kad pengenalan serta khidmat nasihat berkaitan urusan pendaftaran kewarganegaraan.
Kehadiran Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri ke program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sampai kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira jarak dan lokasi, khususnya bagi komuniti di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah.
Program MEKAR merupakan inisiatif prihatin JPN di bawah KDN yang menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial terus diperkasakan serta menjamin setiap warganegara yang layak tidak tercicir daripada memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Sejak awal tahun ini, sebanyak 15,803 permohonan dokumen pengenalan diri telah berjaya diproses melalui 2,044 pelaksanaan Program MEKAR di seluruh negara, di samping 18,196 khidmat nasihat yang disalurkan secara terus kepada masyarakat, membuktikan keberkesanan pendekatan proaktif jabatan dalam membawa perkhidmatan kerajaan ke lokasi rakyat.

