Kem BOS Gaurus 2025 Perkasa Atlet Perak Di Tasik Raban Resort
LENGGONG – Majlis Sukan Negeri Perak (MSNPK) telah menganjurkan Kem BOS Gaurus 2025 (Kem Bimbingan dan Asas Sukan Perak) di Tasik Raban Resort sebagai salah satu inisiatif utama memperkasa pembangunan sukan di negeri ini. Program ini menjadi platform penting untuk meningkatkan semangat, kemahiran, dan daya saing atlet-atlet sukan Perak.
Sepanjang kem, para peserta menjalani pelbagai latihan sukan yang menyeluruh serta sesi motivasi yang dirancang khusus untuk membina keyakinan dan disiplin. Kemuncak program ini adalah kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, yang turut sama memberikan dorongan moral dan inspirasi kepada para atlet. Kehadiran beliau jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem sukan negeri Perak.
Objektif utama Kem BOS Gaurus 2025 adalah membimbing atlet muda, memperkukuh asas sukan, dan memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta. Selain itu, program ini memberi peluang kepada atlet untuk berinteraksi secara langsung dengan jurulatih berpengalaman serta menerima bimbingan khusus dalam pelbagai disiplin sukan, sekali gus memperluas pengetahuan dan kemahiran mereka.
MSNPK selaku penganjur berharap inisiatif seperti ini dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dan meningkatkan pencapaian sukan negeri di peringkat kebangsaan. Suasana Tasik Raban Resort yang kondusif turut menyumbang kepada kejayaan program motivasi dan latihan sepanjang kem ini berlangsung.
Kem BOS Gaurus 2025 membuktikan usaha berterusan MSNPK dalam memperkukuh pembangunan sukan negeri Perak, sekaligus memberi impak positif kepada pembangunan atlet dan pencapaian sukan negeri pada masa akan datang.

