Program Lawatan Kerja Ke Penjara Alor Setar Kedah

May 30, 2023

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, saya diberi ruang dan peluang untuk hadir di Penjara Alor Setar, Kedah ini bersempena dengan lawatan kerja rasmi saya ke Penjara Alor Setar, Kedah.

Program lawatan kerja seumpama ini merupakan platform terbaik bagi saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk bertemu dengan warga Jabatan Penjara Malaysia di peringkat negeri. Dengan kehadiran semua pada hari ini membuktikan kebersamaan kita di bawah satu Kementerian yang berpaksikan pada misi yang sama iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negeri dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Tujuan saya mengadakan lawatan kerja ini adalah untuk melihat sendiri isu-isu dan cabaran di peringkat akar umbi dalam pengurusan dan juga aktiviti yang dijalankan di dalam institusi penjara selain beramah mesra dengan seluruh kakitangan warga Jabatan Penjara di Negeri Kedah Darul Aman.

Dalam lawatan saya ini, pegawai dan kakitangan daripada Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena dan juga Penjara Sungai Petani turut hadir dalam majlis ini. Terima kasih diucapkan kepada semua.

Ini merupakan lawatan saya yang kedua ke institusi penjara. Kali pertama saya mengadakan lawatan di Penjara Satelit Kuala Kangsar pada 2 Mei 2023 yang lalu. Hasil daripada lawatan tersebut, saya menerima banyak informasi mengenai usaha-usaha jabatan dalam menggelakkan kesesakan dalam penjara bahkan melihat sendiri fungsi Penjara Satelit tersebut.

PENJARA SEBAGAI TUNJANG KOREKSIONAL NEGARA

Saya percaya pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh Jabatan Penjara dalam menyantuni, mendidik dan juga memulihkan golongan rentan yang bernama banduan ini sebelum dikembalikan kepada masyarakat. Usaha-usaha Jabatan Penjara Malaysia seperti memperkemaskan program pemulihan dalam komuniti menampakkan kesungguhan jabatan dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Banyak usaha Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkemaskan program pemulihan dalam komuniti seperti Perintah Parol, Perintah Kehadiran Wajib (PKW), Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan kerjasama dengan sektor-sektor swasta di bawah Corporate Smart Internship (CSI). Tahniah dan Syabas saya ucapkan!

Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa menyokong dan juga membantu pihak jabatan dalam merealisasikan usaha tersebut demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara bahkan pihak kementerian juga serius dalam memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus menjadi agenda utama di Kementerian Dalam Negeri.

Saya yakin dan percaya, Jabatan Penjara merupakan satu organisasi yang memainkan peranan yang amat penting dalam sistem keadilan dan perundangan di Malaysia. Tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Penjara ini iaitu dalam memulihkan banduan adalah amatlah besar peranannya.

KEBAJIKAN KAKITANGAN PENJARA DIBELA

Pihak Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri juga sentiasa menitik beratkan kebajikan dan kesejahteraan pegawai dan kakitangan penjara di Negeri Kedah dalam memastikan nasib mereka dibela.

Pada tahun ini, sebanyak RM685,000 telah diperuntukkan kepada Penjara Alor Setar dan Penjara Sungai Petani yang melibatkan pembaikan kuarters kediaman.

Diharapkan dengan peruntukan tersebut dapat sedikit sebanyak memperbaiki kemudahan di kuarters Penjara Alor Setar, dan Penjara Sungai Petani.

Selain daripada itu, terdapat juga peruntukan sebanyak RM1.709 juta diperuntukkan bagi membaiki atau menyelenggara Pejabat Parol Daerah (PPD) Langkawi, PPD Sg. Petani, PPD Kota Setar, Penjara Sg. Petani, Alor Setar, Pokok Sena termasuklah Akademi Koreksional Malaysia di Langkawi. Peruntukan ini sedikit sebanyak dapat memperbaiki persekitaran kerja warga Jabatan Penjara supaya lebih selesa dan kondusif.

NILAI DAN INTEGRITI PEGAWAI PENJARA

Pesanan saya kepada semua pegawai dan kakitangan Penjara supaya teruskanlah untuk berkhidmat dan menjalankan tugas dengan penuh berintegriti serta berdedikasi. Tugas untuk memulihkan banduan sememangnya berat tetapi amatlah mulia kerana memberikan seseorang banduan itu peluang kedua dan menjadi orang yang berguna selaras dengan prinsip “ISLAH” dan “IHSAN”, dalam memberikan layanan dan program pemulihan yang terbaik kepada banduan selari dengan konsep Malaysia MADANI.

Oleh itu, anggaplah juga ianya sebagai satu ibadah dan juga asbab dalam mendapatkan keberkatan dan juga keredhaan dari Allah SWT.

Semoga dengan komitmen dan kesungguhan kita ini, Negara akan terus kekal aman dan sejahtera.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan juga ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Haji Nordin bin Haji Muhamad, pengurusan tertinggi Jabatan Penjara Malaysia dan warga kerja Jabatan Penjara di Negeri Kedah yang mengatur lawan saya. Lawatan saya ini dihadiri bersama :

Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Ibrisam bin Abdul Rahman
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan)

Yang Berusaha Komisioner Penjara Haji Ahmad Faudzi bin Awang
Pengarah Bahagian Keselamatan & Inteligen

Yang Dihormati Timbalan Komisioner Penjara Abdul Kadir Jailani bin Ismail
Pengarah Penjara Negeri Kedah Darul Aman

Pengarah-Pengarah Institusi Penjara
Pegawai-Pegawai Kanan daripada Kementerian Dalam Negeri
Pegawai-Pegawai Kanan daripada Jabatan Penjara Malaysia dan Negeri Kedah.

Saya yakin dan percaya dengan barisan kepimpinan yang sedia ada ini, akan memberikan impak dan juga kejayaan seperti mana yang diharapkan.
Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri
Mei 2023

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help