Program i-DEEN 2023 AADK
Program i-DEEN Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2023 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tiang Dua, Melaka merangkul kejuaraan keseluruhan setelah memenangi acara Azan dan Tilawah al-Quran.
Saya telah merasmikan penutupan dan menyampaikan hadiah di majlis yang berlangsung di Dewan Sri Akasia, Ibu Pejabat AADK.
Program yang dilaksanakan secara tahunan itu bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif klien serta persaingan secara sihat dalam program kerohanian serta membentuk modal insan yang memiliki jati diri dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Empat acara telah dipertandingkan dalam program i-DEEN AADK 2023 iaitu Tilawah al-Quran, Syarahan Tafsir, Azan dan Lagu Ketuhanan melibatkan penyertaan seramai 141 klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan institusi (RPDI) dari seluruh negara.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.