Program Geoentrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark Dilancarkan
LENGGONG – Program Geoentrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Menteri Besar Perak pada Sabtu di Dewan Merdeka Lenggong.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Pelancongan Lenggong, Geokomuniti Badan Pengurusan Lenggong Geopark serta Kolej Komuniti Gerik (Cawangan Lenggong).
Inisiatif ini bertujuan memperkasakan usahawan tempatan menerusi potensi geopelancongan serta geo-warisan yang terdapat di kawasan tapak warisan dunia UNESCO berkenaan.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Pelancaran yang berlangsung pada jam 10 pagi itu dilihat sebagai satu langkah strategik dalam usaha menjana ekonomi setempat melalui aktiviti keusahawanan yang memanfaatkan sepenuhnya status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark.
Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berkemampuan menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelancong dalam dan luar negara.

