Program Aspirasi AADK ‘Santuni Komuniti’ Di Johor Bahru
JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah merasmikan Program Aspirasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) “Santuni Komuniti” yang berlangsung di Dewan Raya Bukit Tiram, Johor Bahru pada Jumaat.
Sempena program tersebut, turut diadakan Forum Maal Hijrah 1448H bertajuk “Hijrah Jiwa, Ummah Sejahtera Komuniti Bebas Dadah” yang mengetengahkan semangat hijrah dalam usaha membina komuniti yang bebas daripada ancaman dadah.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Pengarah AADK Negeri Johor serta pimpinan masyarakat Teberau, dengan kehadiran ramai klien dan keluarga mereka yang memberi sokongan terhadap program berkenaan.
Program Aspirasi AADK “Santuni Komuniti” ini bertujuan mendekati serta memberi sokongan kepada individu yang sedang dalam proses pemulihan daripada kebergantungan dadah, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Kehadiran Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bagi merasmikan program tersebut memperlihatkan sokongan padu kepimpinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap usaha berterusan AADK dalam membanteras gejala dadah serta membina komuniti yang sejahtera dan bebas dadah.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan agenda pemulihan dan pencegahan dadah terus diperkasakan melalui pendekatan santuni komuniti yang lebih inklusif dan bersepadu.

