Polis Siasat Kes Jualan Stoking Tertera Kalimah Allah

March 18, 2024

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sudah bermula dan bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata siasatan dimulakan selepas polis menerima 36 laporan daripada pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) terima 36 laporan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita sentiasa memantau supaya tidak berlaku lagi perkara (penjualan stoking) ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) Sabtu lalu, siasatan akan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar dan menjual produk berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan juga diambil dengan memeriksa premis KK Mart di seluruh negara dan mendapati pihak KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan dari semua cawangannya,” katanya.

Sabtu lalu, pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai, dalam sidang medianya menyatakan, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Beliau dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan ke atas 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah Allah.

Menjawab soalan asal oleh Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkenaan pemantauan bahan penerbitan, buku atau bahan bacaan supaya bebas daripada unsur lucah dan tidak bermoral, Shamsul Anuar berkata, sehingga tahun lalu, sejumlah 5,516 tajuk penerbitan dikenakan tindakan supaya tidak berada dalam masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap penerbitan seperti ini dilaksanakan dalam pelbagai kaedah iaitu pemeriksaan berterusan di lapangan dan pintu masuk, pemantauan secara dalam talian serta berdasarkan sumber aduan awam.

“Tindakan penguatkuasaan bukan sahaja merujuk kepada aktiviti penjualan dan pengimportan saja, tetapi turut diambil terhadap penerbit, pencetak, pengedar termasuk pemilik kepada mana-mana penerbitan yang menyalahi akta ini.

“Antara tindakan penguatkuasaan diambil jika terdapat kesalahan berkaitan kemoralan ialah penyitaan/penahanan, siasatan dan pendakwaan kepada pesalah.

“Bahan penerbitan, buku atau bahan bacaan yang tidak bermoral itu akan dikenakan tindakan seperti Perintah Larangan, Tahan Penghantarserahan dan Tolak Pengimportan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1224868/polis-siasat-kes-jualan-stoking-tertera-kalimah-allah

Bernama: https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2280186
UMNO Online: https://umno-online.my/2024/03/18/pdrm-terima-36-laporan-polis-isu-stoking-kalimah-allah-dr-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help