Pimpinan Kampung Lenggong Sepakat Tolak Pembalakan, Utamakan Kelestarian Hutan Demi Warisan Dunia

December 30, 2025

LENGGONG – Semua pimpinan kampung di kawasan Parlimen Lenggong sebulat suara bersetuju dan menegaskan pentingnya usaha mengekalkan hutan sebagai aset utama bagi pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pengiktirafan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, diikuti status Lenggong Geopark dan kini bersedia sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark, menjadikan kawasan ini sangat bernilai kepada Malaysia dan dunia. Lenggong terkenal dengan nilai sejarah, arkeologi, warisan, budaya, serta keindahan alam semula jadi yang meliputi hutan, batuan, sungai, dan tasik bertaraf dunia.

Pembangunan sektor pelancongan di Lenggong telah memberi impak ekonomi yang besar, menjadikan kawasan ini tarikan baharu serta menjana pendapatan kepada kerajaan dan rakyat. Pelbagai institusi pengajian tinggi seperti UTM, UiTM, UKM, dan Yayasan Hasanah melalui Think City turut terlibat dalam pembangunan kawasan ini.

Namun, kebimbangan timbul sekiranya aktiviti pembalakan berlaku di kawasan hutan seperti Hutan Piah, Hutan Bintang Hijau, Hutan Simpan Air Chepam, Hutan Simpan Papulut, dan beberapa kawasan lain. Aktiviti ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha mengekalkan pembangunan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan UNESCO Global Geopark, serta memusnahkan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan utama.

Sehubungan itu, semua pimpinan kampung meminta agar pembalakan tidak dijalankan di kawasan Lenggong Geopark. Mereka mencadangkan agar Kerajaan Negeri Perak memfokuskan pembangunan yang mampan dan berdaya saing dengan mempelbagaikan sumber pendapatan melalui sektor inovatif dan bernilai tambah tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembalakan demi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan ekonomi jangka panjang.

Hutan dan hidupan di dalamnya adalah warisan masa depan negara dan dunia. Kenyataan ini dibuat selepas mesyuarat bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Kecil Lenggong pada 24 Disember 2025 di Bilik Gerakan Pusat Khidmat MP Lenggong, yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help