Pertanyaan Jawab Lisan Daripada YB Senator Tuan Manolan Bin Mohamad Di Dewan Negara

March 18, 2024

SOALAN
Minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian yang diambil bagi mengatasi isu scammer yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan wang dalam akaun simpanan kepada mangsa penipuan sehingga ia menjadi masalah yang serius dalam masyarakat.

JAWAPAN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa peka berhubung kes-kes yang melibatkan jenayah scammer yang kini semakin meluas dilaporkan diseluruh Negara. Jumlah kes yang dilaporkan di seluruh negara bagi tahun 2023 adalah sebanyak 34,497 kes dengan kerugian berjumlah RM1,218,925,413.59 dan pertuduhan sebanyak 12,851 kes. Berdasarkan statistik tahun 2023, kes penipuan jenayah telekomunikasi antaranya seperti tipu peraduan SMS, tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon telah mencatatkan kes tertinggi berbanding kes-kes yang lain iaitu sebanyak 10,348 kes dengan kerugian berjumlah RM352,936,093.96 dan jumlah pertuduhan sebanyak 3,057 kes.

Dalam isu ini juga, Pusat Respons Scam Malaysia (NSRC) berperanan untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan jenayah dalam talian. Sepanjang tahun 2023, sebanyak 7,147 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan NSRC dengan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM158,056,900.33, daripada jumlah tersebut sebanyak RM29,363,992.43 telah berjaya dipulangkan kepada mangsa.

Di samping itu, pelbagai usaha lain dijalankan oleh PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan. Antara inisiatif PDRM dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian adalah seperti berikut:

a) Menyediakan perkhidmatan portal Semak Mule bagi membolehkan masyarakat membuat semakan no. akaun bank dan no. telefon yang terlibat dengan siasatan pihak polis. Selain itu, JSJK turut menyediakan perkhidmatan CCID Infoline (013-2111222) untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan penipuan dan jenayah komersil. JSJK juga telah mewujudkan platform media sosial (Facebook, Instagram dan TikTok) JSJK PDRM serta Cyber Crime Alert untuk menyampaikan maklumat dan info semasa mengenai scam;

b) Menjalankan usahasama dengan agensi swasta dari sudut mengenalpasti nombor-nombor telefon yang telah disenarai sebagai scammer oleh pihak penguatkuasa; dan

c) Melaksanakan kempen-kempen kesedaran masyarakat secara berterusan.

Selain itu juga pelbagai program kempen dan ceramah telah dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat. Sepanjang tahun 2023 sebanyak 1,610 pameran dan 3,727 ceramah telah dilaksanakan.

YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help