Permintaan Tinggi Punca Kegiatan Ah Long Masih Berleluasa

October 11, 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui kegiatan ‘Ah long’ atau ceti haram masih berleluasa di negara ini disebabkan adanya permintaan tinggi daripada masyarakat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, faktor tawaran pinjaman disediakan Ah long lebih mudah dan senang berbanding yang disediakan institusi perbankan dan kewangan berlesen, turut menarik perhatian peminjamnya.

“Hal ini juga disebabkan kesukaran masyarakat untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan serta juga institusi kewangan berlesen (atas faktor kurang kelayakan), maka kegiatan Ah long berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Che Mohamad bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk mengatasi kes keganasan membabitkan Ah Long atau pemberi pinjaman wang tanpa lessen, memandangkan semakin banyak kes menunjukkan mereka merosakkan harta benda orang awam secara sewenang-wenangnya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, rekod pada 2021 menunjukkan 1,067 kes tangkapan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 29(a) Akta 40.

“Pada 2022 pula, jumlah kes adalah 1,009 dan tangkapan juga dibuat sebanyak 1,262 dengan kerajaan turut melaksana pelbagai kaedah untuk memastikan berkaitan kegiatan Ah long dapat ditangani.

“Antaranya kita tingkatkan keupayaan PDRM untuk tangani isu ini termasuk (pemantauan) menggunakan media sosial. Ah long sudah berubah, dulu tampal iklan di stesen bas dan kawasan awam, tetapi kini sudah beralih menggunakan media soaial.

“Di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, kita sudah ada unit korporat siber untuk tingkatkan usaha menangani kes ini, selain kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Berhubung soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Samsul Anuar berkata, kementerian menyedari isu Ah long besar dan mencabar untuk ditangani, namun buat masa ini tindak balas dilakukan agensi penguat kuasa tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Pihak polis tidak memberi bantuan secara khas (kepada peminjam Ah long), hanya bertindak pantas jika peminjam diganggu. Apa pun yang saya nak sebut, polis akan bertindak pantas dan sentiasa beri kerjasama (kepada peminjam yang diancam atau diugut).

“Polis memang memandang serius (kes membabitkan ancaman Ah long) dan kita sentiasa meningkatkan kesedaran awam berkaitan isu pinjaman ini supaya mereka meneliti dengan betul sebelum membuat sebarang pinjaman,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1163531/permintaan-tinggi-punca-kegiatan-ah-long-masih-berleluasa-shamsul

Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/628627/berita/nasional/along-masih-berleluasa-kerana-ada-permintaan

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help