KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan komitmen untuk menghormati hak rakyat mengadakan perhimpunan aman, namun pada masa sama menekankan keperluan penganjur mematuhi peraturan notis baharu iaitu sekurang-kurangnya lima hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan mahkamah berhubung kes-kes berkaitan perhimpunan aman adalah jelas dan kerajaan sentiasa menghormati proses berkenaan.
“Apapun yang berlaku, kita sangat memahami keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Peraturan lama menetapkan tujuh hari sebelum untuk membuat permohonan, tetapi peraturan baharu ialah lima hari sebelum. Ini perlu dipatuhi.
“Dalam keadaan kerajaan memberikan hak kepada rakyat berhimpun, kita hormati keputusan dibuat oleh mahkamah. Justeru, kerajaan dan PDRM akan tetap membuat risikan dan pemantauan supaya isu-isu atau kegiatan melanggar peraturan ini dapat ditangani dengan baik dan tersusun.
“Oleh itu, sebarang tindakan dibuat oleh PDRM kekal dan tetap mematuhi undang-undang dan tidak akan sesekali melanggar peraturan kerana PDRM sangat patuhi pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menghormati hak rakyat dan dalam masa yang sama menjaga keamanan negara,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang bertanyakan mengapa ada penganjur yang melakukan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) masih dikenakan tindakan.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata antara langkah dan strategi yang dilaksanakan bagi memastikan keamanan negara kekal terpelihara adalah dengan mengumpul maklumat, memantau setiap isu, membuat risikan terhadap potensi ancaman kepada keamanan dan kestabilan negara.
“Kementerian turut menjalankan kolaborasi dengan agensi kerajaan supaya isu berkaitan dapat ditangani serta tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan dengan PDRM dan pihak penganjur bagi memastikan penganjuran perhimpunan tidak mengikut isu-isu yang memberi ancaman dan menggugat keselamatan awam.
“Langkah lain yang diambil ialah meningkatkan tahap kesiapsiagaan melalui latihan kawalan rusuhan, penggunaan teknologi moden seperti memasang kamera badan, penggunaan dron, memantau sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan respon,” katanya.
Mengenai menangani isu ekstremis, Shamsul Anuar berkata pendekatan yang digunakan termasuk mengesan perancangan awal dengan mengenalpasti sentimen yang wujud berdasarkan isu di platform media sosial atau pada masyarakat umum.
“Dalam menangani persepsi negatif rakyat, kerajaan mengadakan kolaborasi strategik antara agensi penguatkuasa yang terbabit serta menjalinkan kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan (NG0) serta persatuan berkaitan,” katanya.


