Perdana Menteri & Warga KDN Bersatu Perkukuh Integriti Sempena Ihya’ Ramadan

February 20, 2026

PUTRAJAYA – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, telah menghadiri Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Program Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Auditorium, Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri; serta YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah KDN serta seluruh warga kementerian.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, bacaan Ikrar Rukun Negara dan doa, diikuti ucapan oleh Menteri Dalam Negeri. Seterusnya, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan amanat kepada warga KDN, menekankan kepentingan integriti dan amanah dalam perkhidmatan awam.

Program turut diserikan dengan tazkirah Ramadan bertajuk “Madrasah Islah” yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan. Tazkirah tersebut menekankan penghayatan nilai-nilai Ramadan sebagai asas memperkukuh integriti dan etika kerja dalam kalangan penjawat awam.

Selain sesi ramah mesra bersama warga kementerian, YAB Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KDN bagi membincangkan hala tuju strategik kementerian. Fokus perbincangan adalah memperkukuh keselamatan negara, memperkasa tadbir urus berintegriti serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negara dan warga KDN dalam memperkukuh semangat kebersamaan, menghayati nilai-nilai murni Ramadan serta menunaikan amanah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help