LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi menyusun persiapan Lenggong Dialog 2026 (LD’26).
Perbincangan yang diadakan pada 23 Julai itu tertumpu kepada penyusunan acara yang akan dianjurkan oleh kedua-dua jabatan tersebut sempena program kemuncak LD’26 yang bakal berlangsung dari 24 hingga 29 November 2026 di Kawasan Lenggong.
Lenggong Dialog 2026 bakal menjadi program antarabangsa pertama yang diadakan selepas Lenggong menerima pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark pada April lalu, sekali gus melengkapkan status dwi-pengiktirafan UNESCO bagi kawasan tersebut selepas diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012.
Dengan status tersebut, Lenggong kini merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dua pengiktirafan antarabangsa UNESCO serentak.
Penglibatan JMG dan JWN secara langsung dalam penganjuran LD’26 dilihat amat signifikan memandangkan kedua-dua agensi merupakan pihak utama yang memacu kejayaan pengiktirafan geopark tersebut di peringkat antarabangsa.


