Perasmian Seminar Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Siasatan Jenayah Moden & Keselamatan Negara

August 19, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hari ini merasmikan Seminar Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Siasatan Jenayah Moden dan Keselamatan Negara yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur.

Seminar selama tiga hari bermula 16 Ogos itu mengangkat tema “Transformasi Kecerdasan Digital Dalam Mempertingkat Kecekapan dan Keberkesanan Siasatan Era MADANI” dengan penyertaan seramai 389 peserta terdiri daripada pegawai polis pelbagai pangkat dari seluruh kontinjen PDRM.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khalid Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Puan Ainah Mohd Soon, Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Penasihat Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid serta Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dr. Che Ghazali Che Awang.

Seminar berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam meneroka potensi teknologi AI bagi mempertingkat keupayaan penyiasatan serta mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik. Pemanfaatan AI perlu dilaksanakan secara strategik dan bertanggungjawab dengan berteraskan prinsip etika, integriti, pematuhan undang-undang serta tadbir urus yang baik.

Majlis turut menyaksikan gimik perasmian yang mengetengahkan teknologi robotik menerusi simulasi operasi menangkap suspek melibatkan Robot Dog daripada Aonic Sdn. Bhd. dan AGIBOT X2 daripada Mr Robot Sdn. Bhd., yang memperlihatkan keupayaan teknologi robotik bergerak dan berinteraksi secara responsif serta potensi aplikasinya dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan pada masa hadapan.

Dalam program yang sama turut diadakan pameran daripada pihak industri dan kumpulan inovasi Maktab PDRM yang mengetengahkan pelbagai aplikasi, inovasi serta penyelesaian teknologi berkaitan kecerdasan buatan, penyiasatan dan keselamatan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah barisan Pengarah PDRM, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Marsus dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help