Perasmian Perhimpunan Agung Sayap UMNO 2026 Berlangsung Di WTCKL

September 11, 2026

KUALA LUMPUR – Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada malam 9 September 2026.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyampaikan ucapan perasmian kepada para perwakilan ketiga-tiga sayap parti yang memenuhi Dewan Merdeka.

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Turut kelihatan hadir barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad Hasan menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menutup ruang bagi merealisasikan kesatuan bangsa Melayu merentasi parti dan ideologi.

“Percayalah, jika sesiapa juga yang datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan berlapang dada, tetapi kerjasama itu mestilah ada kejelasannya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang kerjasama politik dalam konteks perpaduan Melayu-Islam mestilah dinaungi oleh visi Rumah Bangsa yang dipelopori UMNO, serta bersifat anjal tanpa perjanjian yang mengikat.

“UMNOlah yang telah membidani kelahiran nasionalisme Melayu dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya,” tegas beliau.

Mohamad Hasan juga menyeru agar seluruh nasionalis UMNO memerangi segala bentuk berita palsu dan fitnah terhadap parti, namun dengan cara yang beretika tanpa terlibat dalam penyebaran maklumat tidak sahih terhadap mana-mana pihak.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September di WTCKL itu dihadiri seramai 6,401 perwakilan merangkumi 2,922 perwakilan UMNO induk, 1,163 perwakilan Wanita UMNO, 1,171 perwakilan Pemuda UMNO dan 1,145 perwakilan Puteri UMNO.

Persidangan penuh ketiga-tiga sayap parti berlangsung pada 10 September melibatkan Perhimpunan Agung Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, manakala kemuncak PAU 2026 diteruskan pada 11 dan 12 September dengan Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbahasan usul serta ucapan penggulungan.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help