Penjenamaan Semula Terma Perintah Berkurung Di Kawasan Perairan ESSZone Bukti Keprihatinan Kerajaan Perpaduan

November 8, 2023

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sejajar dengan hasrat dan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memperkasa rakyat melalui ekonomi Madani, terma Perintah Berkurung di kawasan perairan ESS Zone telah dijenamakan semula kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone Sabah.

Menurut beliau pengumuman yang telah dibuat oleh Ketua Polis Negara (KPN) melalui Kenyataan Media bertarikh 16 Oktober 2023 (Isnin) adalah untuk menangkis persepsi tidak tepat yang telah menimbulkan kegusaran penduduk setempat, pihak kedutaan dan pelancong asing kerana terkesan dengan penggunaan terma penguatkuasaan perintah tersebut untuk tempoh yang lama.

“Menerusi Kenyataan Media tersebut, Perintah Berkurung Sabah No.220 yang tamat pada 17 Oktober 2023 jam 6.00 petang, dilanjutkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESSZone Sabah No.1 oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

“Perintah Kawalan Pergerakan tersebut berkuatkuasa mulai 18 Oktober 2023 (Rabu) hingga 1 November 2023 (Rabu) untuk tempoh selama 14 hari yang hanya melibatkan enam (6) daerah sahaja iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. Daerah Tawau telah dikecualikan penguatkuasaan PKP ESSZone Sabah memandangkan jaminan keselamatan di kawasan perairan daerah ini yang semakin mengukuh,” katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Ahli Parlimen Sandakan, Puan Vivian Wong Shir Yee berhubung penjenamaan semula Perintah Berkurung Laut di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) Sabah.

Dr Shamsul seterusnya menambah, berhubung dengan laporan-laporan dikeluarkan oleh pihak media yang dianggap kurang tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan persepsi masyarakat mengenai penguatkuasaan PKP ESSZone Sabah, Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan menyelaras pelan komunikasi strategik melibatkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ melalui sesi libat urus.

Katanya lagi sesi berkenaan bukan sahaja dengan pihak media bahkan akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan di peringkat Kedutaan Asing dan Kerajaan Negeri Sabah serta pemimpin pemimpin tempatan, pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di wilayah Sabah bagi menjelaskan kewajaran pelaksanaan perintah ini selain menangani sebarang cabaran-cabaran komunikasi menggunakan naratif yang lebih berimpak tinggi.

“Sebagai contoh, baru-baru ini Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melalui pihak media elektronik/cetak arus perdana di Sabah telah menyampaikan mesej berkaitan kewajaran penjenamaan terma tersebut yang dapat memberi kesan positif dari aspek pemerkasaan Ekonomi Madani kepada masyarakat di ESSZone.

“Sehubungan itu, dengan penjenamaan dan pengecilan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan ESSZone ini, Kerajaan mengharapkan agar pihak media tempatan dan asing dapat menyampaikan maklumat sahih mengenai keadaan keselamatan semasa di kawasan ESSZone supaya aktiviti sektor pelancongan dan pengembangan syarikat tempatan di wilayah ini dapat dilonjakkan serta memberi manfaat dari segi penggajian yang bermakna dan kesaksamaan peluang kepada masyarakat ESSZone,” tambahnya.

Dr Shamsul berkata Perintah Berkurung di Perairan Zon Selamat Sabah Timur/Eastern Sabah Safety Zone (ESSZone) yang telah diisytiharkan bermula pada 19 Julai 2014 merupakan satu mekanisme pemantauan dan kawalan oleh pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap pergerakan bot atau kapal yang digunakan penduduk setempat, pelaut, pelancong dan komuniti maritim (nelayan laut dalam khasnya) di laut atau perairan Wilayah Sabah yang berlandaskan kepada Akta Polis 1967.

Katanya berdasarkan punca kuasa ini, Pesuruhjaya Polis boleh mengisytiharkan perintah berkurung selama 24 jam di bawah Seksyen 31 (1) selain Pesuruhjaya Polis atau Pegawai Polis atau Pegawai Awam yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pesuruhjaya Polis boleh mengeluarkan permit pengecualian perintah berkurung di bawah Seksyen 31 (2).

“Sementara itu, Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31 (4) akta berkenaan juga mempunyai kuasa untuk melanjutkan Perintah Berkurung selama 14 hari. Tujuan utama penguatkuasaan perintah tersebut adalah untuk mengekang dan mengawal ancaman anasir Royal Security Force (RSF) serta elemen militan dan jenayah rentas sempadan seperti Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) atau Kumpulan Kidnap for Ransom (KFRG) khususnya di kawasan perairan ESS Zone,” ujarnya.

Sumber: https://umno-online.my/2023/11/08/penjenamaan-semula-terma-perintah-berkurung-di-kawasan-perairan-ess-zone-bukti-keprihatinan-kerajaan-perpaduan-dr-shamsul/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help