LENGGONG – Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan pengukuhan pimpinan di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta berkesan.
Beliau berkata, selaku Pengarah Bilik Gerakan Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Lenggong, beliau bersama Setiausaha UMNO Bahagian Lenggong hari ini mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Ketua Kampung Banggol Batu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Banggol Batu, serta pimpinan UMNO Cawangan Banggol Batu, Lenggong.
Menurutnya, perjumpaan berkenaan bertujuan menyusun dan memperkemaskan struktur kepimpinan di Kampung Banggol Batu bagi memperkukuh gerak kerja setempat serta memastikan agenda membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.
“Pengukuhan struktur pimpinan akar umbi amat penting untuk memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat. Dengan penyelarasan yang lebih kemas, setiap keperluan dan isu setempat dapat ditangani secara lebih cepat dan tepat,” katanya.
Perbincangan tersebut diadakan di Pejabat LEAD Lenggong pada jam 2.30 petang.


