Penguasaan Bahasa Melayu Kekal Syarat Asas Mohon Kewarganegaraan

December 12, 2023

KUALA LUMPUR – Penguasaan Bahasa Melayu kekal menjadi syarat bagi permohonaan taraf kewarganegaraan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam perkara itu, beberapa proses saringan dilaksanakan antaranya melalui ujian bertulis, temu duga secara lisan dan bersemuka melalui ujian pengetahuan Bahasa Melayu pemohon.

“Sepertimana yang disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan, pemohon kewarganegaraan di bawah Perkara 16 hendaklah mempunyai tahap pengetahuan asas Bahasa Melayu manakala pemohon kewarganegaraan di bawah perkara 19 pula hendaklah mempunyai pengetahuan mencukupi Bahasa Melayu.

“Ini bermakna, tahap penguasaan Bahasa Melayu bagi pemohon taraf kewarganegaraan ini diberi keutamaan kerana syarat ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu sejauh mana tahap penguatkuasaan Bahasa Melayu diberi perhatian untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Shamsul Anuar berkata, setakat November lepas, sebanyak 32,000 permohonan kewarganegaraan diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Setakat Oktober lepas, KDN telah mengeluarkan sebanyak 10,381 keputusan permohonan kewarganegaraan dan jumlah ini melepasi sasaran yang ditetapkan setiap tahun iaitu sebanyak 10,000,” katanya. – Bernama

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/639273/berita/nasional/penguasaan-bahasa-melayu-kekal-syarat-asas-mohon-kewarganegaraan

Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2253353#google_vignette

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help