UCAPAN PENGGULUNGAN YB TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI BAGI PERBAHASAN KAJIAN SEPARUH PENGGAL (KSP) RANCANGAN MALAYSIA KE DUA BELAS (RMKe-12) DEWAN NEGARA TAHUN 2023
Bismillahirrahmanirrahim.
Tan Sri Yang di-Pertua,
1. Saya mengucapkan terima kasih kepada seramai 15 orang ahli-ahli Yang Berhormat Senator yang telah mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di Dewan Yang Mulia ini pada 20 dan 21 September 2023 yang antara lain telah menyentuh 23 isu berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi-agensi di bawahnya. Sesi penggulungan saya pada hari ini akan dibahagikan kepada 3 kluster seperti berikut:
(i) Keselamatan dan Ketenteraman Awam;
(ii) Keimigresenan; dan
(iii) Warganegara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
2. Saya akan memulakan ucapan saya dengan menjawab kenyataan daripada YB Senator Datuk Razali bin Idris berhubung garis panduan yang jelas berhubung do’s and don’ts dalam isu berkaitan 3R ini. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini ketika ucapan penggulungan saya di Dewan Rakyat minggu lalu, suka saya nyatakan sekali lagi di sini bahawa Kerajaan tidak pernah menafikan hak asasi rakyat untuk bebas bersuara secara berhemah dan tanpa menimbulkan keresahan rakyat. Namun begitu, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, ianya bukan merupakan hak mutlak sebaliknya terdapat batasan-batasan yang perlu dipatuhi berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Apa yang boleh dan tidak boleh dalam kita menyuarakan sesuatu perkara telah jelas digariskan dalam perundangan sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Namun begitu, Kerajaan bersedia untuk memberikan penjelasan kepada ahli-ahli Parlimen berhubung perbuatan yang boleh dianggap sebagai menghasut ini.
3. Seterusnya saya akan menjawab berkaitan isu naik taraf fasilti dan infrastruktur di bawah seliaan KDN dan agensi-agensi di bawah KDN.
4. Untuk makluman YB Senator Datuk Paul Igai dan YB Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim, KDN terus berusaha untuk memperkasakan kawalan keselamatan sempadan khususnya di Sabah dan Sarawak. Untuk itu, KDN telah diluluskan dengan peruntukan di bawah RP3, RMKe12 bagi projek baharu pembinaan lapan pos kawalan keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu satu (1) di Sabah dan tujuh (7) di Sarawak dengan kos keseluruhan projek adalah RM32 juta dan peruntukan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM 4 juta. Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan pada 8 Jun 2023 bagi pembangunan kawasan sempadan Sabah dan Sarawak seperti berikut:
(i) menaik taraf pos/premis dan perolehan kelengkapan bagi Briged Sabah dan Briged Sarawak dengan kos sebanyak RM13.8 juta dan RM3.8 juta;
(ii) Sistem Solar dan Pendawaian Elektrik bagi Pos PGA Sarawak dengan kos sebanyak RM1.2 juta; dan
(iii) pembangunan Forward Operations Base (FOB) Kawalan Keselamatan Sempadan Briged Sarawak PGA dengan kos sebanyak RM2.6 juta.
5. KDN sentiasa peka dan mengambil inisiatif dengan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan seperti yang turut disuarakan oleh YB Senator Datuk Paul Igai. Suka saya maklumkan di sini bahawa tahap kawalan keselamatan di sempadan Sabah, Sarawak khususnya yang bersempadanan dengan Kalimantan sentiasa berada pada tahap yang maksimum melalui penempatan pos-pos kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan yang terdiri daripada 73 buah pos di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA). Jumlah perjawatan PGA mengikut waran perjawatan (tidak termasuk pegawai awam) adalah sebanyak 3,310 perjawatan di Sabah dan 2,048 perjawatan di Sarawak.
6. Dalam memastikan tahap kawalan keselamatan sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan sentiasa berada pada tahap yang maksimum, PDRM turut menjalankan operasi secara berterusan seperti Op Taring, Op Awas dan Op Batas.
7. YB Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim turut bertanyakan isu penambahbaikan pos kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak. KDN juga telah diluluskan peruntukan untuk tahun 2023 bagi projek sedia ada iaitu pembinaan Pos Poirgon, Kalabakan sebanyak RM1 juta di bawah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang akan dioperasikan oleh PGA setelah siap pembinaannya.
8. Pada 8 Jun 2023, Kementerian Ekonomi juga telah meluluskan RM43 juta untuk menaik taraf dan perolehan peralatan terhadap pos-pos PGA di Sempadan Utara, Sabah dan Sarawak di bawah butiran Projek Baharu RP3, tahun 2023 bagi Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah, Sarawak dan Utara Semenanjung Malaysia (Butiran 23000, Bekalan P15 Kementerian Ekonomi).
9. Tambahan daripada itu, KDN juga telah diluluskan dengan waran peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Julai 2023 melalui Program Cakna Madani, yang mana turut melibatkan kerja-kerja naik taraf dan pembaikan infrastruktur serta perolehan peralatan kompeni dan pos PGA berjumlah RM45 juta.
10. Bagi projek pembinaan Kompleks Maritim Negeri Kelantan yang dibangkitkan oleh YB Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff, projek pembinaan Kompleks Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan di sekitar Muara Tok Bali, Kelantan telah diluluskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) RMKe-12, tahun 2021 yang melibatkan fasa perolehan tanah. Status terkini ialah proses permohonan telah diangkat kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan dijangka akan dapat diselesaikan pembayaran pada tahun ini juga. Bagi memastikan kesinambungan terhadap projek ini, APMM telah mengemukakan permohonan projek bagi fasa pembinaan di bawah RP4, RMKe-12, tahun 2024.
11. Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah diluluskan di bawah RP3 RMKe-12, tahun 2023 yang akan dibina di atas tapak tanah lot PT1723, Mukim Pendek, Jajahan Kota Bharu, Kelantan. Tapak berkeluasan 19.8 ekar bagi pembinaan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan kuarters di bawah Kontinjen Kelantan pada masa ini sedang dalam peringkat penyediaan brif dan skop projek.
12. Menjawab pertanyaan YB Senator Tuan Abun Sui Anyit berkaitan pembaikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Belaga, permohonan pembinaan IPD Belaga, Sarawak telah diluluskan pelaksanaannya dalam RP2, RMKe-12 dengan kos projek berjumlah RM89.80 juta. Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia. Status terkini projek adalah dalam proses pelantikan perunding dan tender dijangka akan dilaksanakan pada bulan Mac 2024.
13. Berkaitan penggunaan aset dan teknologi terkini untuk mengawal sempadan yang turut dibangkitkan oleh YB Senator Tuan Haji Aziz bin Ariffin dan YB Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim, KDN melalui APMM telah mengguna pakai teknologi terkini dan yang berkemampuan untuk berhadapan pelbagai bentuk ancaman keselamatan sempadan maritim seperti berikut:
(i) Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi pengawasan keselamatan Zon Maritim Malaysia;
(ii) Command, Control, Communication, Computer, Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (C4ISR) bagi perkongsian maklumat dan menyelaraskan tindakan segera operasi penguatkuasaan dan carilamat maritim secara masa nyata; dan
(iii) Sistem Cospas-Sarsat bagi membantu operasi carilamat maritim.
14. Selain itu, PGA sedang merancang penggunaan teknologi dalam membuat kawalan/risikan keselamatan di kawasan operasi. Untuk makluman, PGA telah diluluskan peruntukan perolehan aset berteknologi di bawah RP1, RMKe-12 bagi perolehan dron Vertical Take Off and Landing (VTOL) dan Mobile Surveillance Thermal Radar.
15. ESSCOM juga telah diluluskan dengan peruntukan bagi tujuan perolehan aset taktikal iaitu floating boat (barge) di Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik di bawah RP3, RMKe-12, tahun 2023. Cadangan perolehan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) atau bot laju untuk ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sekitar pesisir dan perairan Tawau juga telah dikemukakan bagi mendapatkan peruntukan Pembangunan di bawah RP4, RMKe-12, tahun 2024.
16. Penggunaan teknologi dan perolehan aset keselamatan tersebut dapat memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara bagi memastikan operasi-operasi keselamatan (rondaan) dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara optimum. Perolehan ini juga akan dapat memperkasakan kewujudan pos kawalan sempadan yang sedia ada dengan inisiatif penambahbaikan aset-aset terkini di sempadan perairan negara.
17. Masih berkisar isu keselamatan sempadan seperti yang dinyatakan oleh YB Senator Datuk Dr. Azhar bin Ahmad, Pasukan Polis Marin (PPM) sentiasa bertindak proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan PPM bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.
18. Perancangan dan strategi yang telah dibuat merangkumi penambahbaikan dalam aspek pembangunan fizikal dan bukan fizikal seperti cadangan pembinaan Markas Operasi PPM di seluruh Malaysia dan perolehan aset-aset yang mempunyai keupayaan yang optimum dalam menjalankan penugasan seperti Op Taring Gelora dan Op Taring Gelora Khas, operasi-operasi bersepadu bersama pasukan-pasukan sahabat inter dan intra agensi.
19. Melalui RMKe-12, PPM melalui KDN telah mengemukakan sebanyak 11 permohonan Projek Pembangunan Fizikal Markas Operasi PPM dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak. Setakat ini, 3 projek telah mendapat kelulusan iaitu Island Forward Operation Base Mabul, Semporna, Sabah, Markas Operasi Muar, Johor dan Markas Operasi Tok Bali, Kelantan.
20. Sebanyak 12 Projek Bukan Fizikal sedang dilaksanakan dan akan diterima oleh PPM mengikut jadual yang telah ditetapkan. Berdasarkan huraian, ini menunjukkan komitmen KDN melalui PDRM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan berada dalam keadaan aman.
21. Dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara, KDN sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (National Border Control System – NBCS). Pembangunan Sistem NBCS yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, autonomous power supply, proses pintar, kemudahan penyebaran dan pengawasan sepanjang masa untuk melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara. Pelaksanaan AI akan membolehkan pengesahan objek, mengurangkan penggera palsu dan menyokong dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan sempadan.
22. Berhubung pembesaran pos sempadan di Wang Kelian, Kaki Bukit yang dibangkitkan oleh YB Senator Tuan Seruandi bin Saad. Pada 8 Jun 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM43 juta untuk pos PGA di Sempadan Utara, Sabah dan Sarawak di bawah butiran Projek Baharu RP3, tahun 2023 bagi Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah, Sarawak dan Utara Semenanjung Malaysia (Butiran 23000, Bekalan P15 Kementerian Ekonomi). Ini termasuklah Projek Menaik Taraf Pos Kawalan dan Pembinaan Baharu Blok Bangunan Pejabat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dengan kos sebanyak dengan kos sebanyak RM16 juta. KDN telah mewujudkan sebuah pasukan petugas (task force) untuk memastikan pelaksanaan projek dan dapat disiapkan dalam tahun semasa.
23. Isu jenayah dan ancaman keselamatan siber sering kali didengari pada masa kini. KDN mengambil maklum akan cadangan yang telah dikemukakan oleh YB Senator Datuk Paul Igai berhubung pewujudan pasukan nukleus bagi mencegah dan mengawal pelbagai isu yang melibatkan keselamatan siber. Walau bagaimanapun, PDRM tidak bercadang untuk mewujudkan pasukan nukleus yang baharu memandangkan Malaysia telah mempunyai Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang bertindak sebagai peneraju bagi hal-hal keselamatan siber di bawah naungan Majlis Keselamatan Negara Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) dengan tindakan yang sama iaitu mengumpulkan pakar keselamatan siber negara di bawah satu bumbung.
24. Namun begitu, bagi menangani isu-isu penipuan dalam talian (online scam) yang semakin berleluasa, adalah dicadangkan supaya National Scam Response Center (NSRC), JPM diperkukuhkan fungsi dan strukturnya dengan mewujudkan perjawatan khusus bagi setiap agensi terlibat iaitu National Anti-Financial Crime Centre (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
25. Berkaitan isu penyalahgunaan dadah yang dibangkitkan oleh
YB Senator Datuk Dr. Azhar bin Ahmad, KDN melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa prihatin terhadap isu penagihan dadah yang berlaku di seluruh negara. Beberapa inisiatif gerak kerja telah dilaksanakan melalui program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.
26. AADK sentiasa menambah baik tindakan yang dilaksanakan termasuk meningkatkan pengumpulan maklumat risikan dalam membanteras sindiket pengedaran dadah berprofil tinggi melalui pengumpulan maklumat hasil kerjasama daripada pemimpin masyarakat, agensi Kerajaan serta swasta, pejabat daerah, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), persatuan penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan komuniti. Maklumat berkaitan pengedaran dadah dan tokan akan disalurkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
27. KDN melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), PDRM juga setiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara. JSJN sentiasa mengambil pendekatan yang holistik dalam usaha membanteras masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini melalui langkah-langkah seperti berikut:
(i) JSJN sentiasa meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan dan swasta dalam perkongsian maklumat serta operasi bersama;
(ii) mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengesan dan menangkap serta mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah melalui undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988;
(iii) PDRM juga mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam siasatan dan pertuduhan terhadap pengedar dadah supaya semua pesalah dikenakan tindakan undang-undang mengikut kesalahan yang dilakukan supaya aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras secara lebih berkesan; dan
(iv) PDRM melalui JJSJN sentiasa melaksanakan operasi-operasi pembanterasan dadah secara berterusan melalui operasi-operasi berskala besar antaranya ialah Op Tapis Khas secara berterusan bagi tujuan mengambil tindakan terhadap pengedar dan penagih dadah di seluruh Malaysia. Salah satu objektif Op Tapis Khas ini adalah untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah. JSJN sentiasa komited dalam usaha membasmi masalah pengedaran dan penagihan dadah di negara ini.
28. Cadangan untuk menubuhkan satu badan tunggal untuk menjaga sempadan (Single Border Agency – SBA) telah diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 November 2018. Untuk makluman YB Senator Tuan Haji Aziz bin Ariffin, pada 1 Januari 2018, Agensi Keselamatan Sempadan Negara (AKSEM) telah berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah agensi Kerajaan Persekutuan dengan menjalankan kawalan sempadan darat, mencegah dan menyekat kegiatan penyeludupan dan aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan, menyelaras pelaksanaan penguatkuasaan, serta merumus dasar dan program pencegahan penyeludupan dan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.
29. AKSEM hanya beroperasi di 4 buah negeri di seluruh negara iaitu di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. AKSEM merupakan satu pasukan penguatkuasaan yang dibentuk melalui gabungan keanggotaan daripada 3 agensi induk yang bertindak secara bersepadu iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
30. Struktur AKSEM adalah berbeza dengan SBA yang merupakan satu organisasi penguatkuasaan undang-undang yang memfokuskan keselamatan negara dengan keutamaan kepada keselamatan awam, ekonomi, perlindungan pertanian dan makanan bagi melindungi rakyat Malaysia dan meningkatkan kemakmuran ekonomi negara.
31. Antara ciri utama SBA yang berbeza dengan AKSEM melibatkan perkara seperti berikut:
(i) penubuhan SBA menggunakan pendekatan model “Transformatif” dan merupakan sebuah agensi yang melaksanakan fungsi-fungsi di pintu masuk termasuk pelabuhan;
(ii) SBA menggabungkan fungsi daripada beberapa agensi yang berkaitan di pintu masuk;
(iii) SBA bertindak sebagai agensi pelaksana barisan hadapan dalam menjalankan tugas sekurang-kurangnya melibatkan 7 fungsi utama di pintu masuk termasuk pelabuhan seperti keimigresenan, perkastaman serta kuarantin dan pemeriksaan;
(iv) memiliki elemen Command and Control yang diterajui oleh hanya seorang ketua; dan
(v) mempunyai satu skim perkhidmatan dan bertaraf tetap.
32. Justeru, konsep SBA berbeza dengan AKSEM yang menggunakan konsep pendekatan peminjaman dan kader. Penubuhan SBA melibatkan penyusunan semula dan penyeragaman fungsi dan aktiviti serta tidak menambah bilangan agensi di pintu masuk. Ini bermakna, pada masa akan datang setiap aktiviti dan urusan akan berlaku melalui satu agensi Sahaja bagi mengelakkan berlakunya conflict of command dan conflict of interest di pintu masuk termasuk pelabuhan.
33. Penubuhan SBA ini juga akan memberi impak positif ke atas aspek seperti berikut:
(i) keselamatan dan kemakmuran negara;
(ii) kelancaran mobiliti orang, barangan dan kenderaan; dan
(iii) kesinambungan fasilitasi perdagangan serta memperkasa elemen penyampaian perkhidmatan Kerajaan di pintu masuk dan pelabuhan dengan menambah baik aspek-aspek berikut:
(a) penguatkuasaan dan kawalan lebih cekap;
(b) mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan;
(c) pengurusan yang terselaras;
(d) kawalan integriti dan ketirisan; dan
(e) prosedur operasi standard (SOP) yang seragam.
34. Untuk makluman, KDN melalui Pasukan Nukleus SBA dalam peringkat akhir kajian dan sedang menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM). Perincian cadangan pelaksanaan penubuhan SBA akan dimasukkan dalam MJM tersebut dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan. Perancangan awal pelaksanaan penubuhan SBA dijadualkan pada Januari 2024 tertakluk kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
35. Menjawab persoalan daripada YB Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff, YB Senator Datuk Bobbey Ah Fang bin Suan dan YB Senator Tuan Abun Sui Anyit, KDN melalui JIM sentiasa meneliti keperluan bagi menambah baik dan menaik taraf kemudahan Imigresen di Malaysia. Dalam hubungan ini, Kompleks ICQS Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang sedang dalam penelitian pihak kementerian bagi tujuan penambahbaikan manakala bagi ICQS Bukit Bunga, bilangan pengembara yang melalui pintu berkenaan masih jauh di bawah kapasiti.
36. Di samping itu, Kementerian Ekonomi pada 8 Jun 2023 yang lalu telah meluluskan 2 butiran projek iaitu:
(i) pembinaan ICQS Sementara di Bantul, Pagalungan, Nabawan Sabah dengan kos sebanyak RM31.1 juta; dan
(ii) kerja awalan ICQS Bantul dengan kos sebanyak RM5 juta.
37. Pembinaan ICQS Sementara di Bantul adalah untuk menggantikan pos imigresen di Pagalungan. Kedudukan ICQS baharu ini lebih hampir dengan garis sempadan yang menempatkan pintu masuk antara Sabah dan Labang di Indonesia sekali gus membolehkan kawalan yang lebih efektif dan teratur.
38. Sukacita dimaklumkan juga Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja awalan sebagai perancangan untuk membina ICQS Bantul kekal.
39. Turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah mengenal pasti cadangan tapak untuk pembinaan ICQS Tapak Megah, Bukit Mabong, Kapit. Sebarang perancangan bagi pembinaan projek ICQS baharu akan dimohon dalam RP yang akan datang.
40. Mengenai penguatkuasaan senarai hitam imigresen kepada peminjam PTPTN yang diutarakan oleh YB Senator Datin Hajah Ros Suryati binti Alang, pelaksanaan senarai hitam dan penahanan pembaharuan pasport oleh KDN melalui JIM adalah tertakluk kepada keputusan jabatan/agensi berkaitan. Untuk makluman YB Senator, PTPTN telah membatalkan keperluan menahan pengembara yang disenarai hitam bermula 15 Jun 2018.
41. Berhubung cadangan penetapan levi baharu yang dikemukakan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan, penyelarasan dan penetapan kadar levi baharu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) selaras keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 April 2017 yang meminta supaya KSM menyusul cadangan bagi menetapkan kadar bayaran levi secara progresif berdasarkan sektor dan jumlah pekerja asing.
42. Dalam hal ini, KDN bersama-sama JIM sedia bekerjasama dalam pelaksanaan Sistem Levi Pelbagai Peringkat (Multi-Tier Levy Mechanism) yang sedang diperhalusi oleh KSM dan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).
43. Seterusnya, YB Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee telah membangkitkan soal pembekuan pas sosial pelajar antarabangsa ke sekolah menengah persendirian Cina. Untuk makluman YB Senator, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) yang membekukan pengambilan pelajar antarabangsa di sekolah persendirian Cina adalah wajar bagi kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial. Di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, kesalahan melanggar kesalahan pas, permit atau pas sempadan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Justeru, tindakan oleh KPM adalah tepat kerana mengikut lunas undang-undang dan melibatkan keselamatan negara. Mana-mana institusi pendidikan tidak kira di peringkat rendah, menengah atau pengajian tinggi adalah wajib mematuhi undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
44. KDN sedia maklum keresahan mengenai kemasukan pekerja asing yang telah diketengahkan oleh YB Senator Datuk John Ambrose dan YB Senator Datuk Dr Azhar bin Ahmad. Seperti ahli YB Senator sekalian sedia maklum, kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa. Hal ini termasuklah keperluan untuk memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas yang dikeluarkan. Sebagai usaha pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini, KDN melalui JIM sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan.
45. Bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 15 September 2023, sebanyak 6,259 operasi telah dilaksanakan oleh JIM yang melibatkan tangkapan seramai 17,271 orang PATI dan 216 majikan. Selain usaha-usaha sedia ada, Kerajaan juga sedang giat melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang membolehkan majikan menggajikan PATI secara sah. Dalam hal ini, program pemutihan membantu mengawal lambakan PATI yang diambil bekerja secara haram oleh majikan.
46. Peraturan 18 di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 [L.N. 228/63] juga memperuntukkan bahawa majikan dikehendaki mengemukakan satu jaminan atau wang cagaran secara deposit sebagai satu jaminan bahawa seseorang pekerja itu akan mematuhi syarat-syarat pekerjaan yang telah ditetapkan. Peruntukan ini bertindak sebagai elemen kawalan bagi memastikan majikan mengambil dan menamatkan penggajian pekerja asing secara teratur menerusi pengeluaran Check Out Memo (COM).
47. Berdasarkan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, majikan yang mengambil seorang atau lebih PATI untuk bekerja boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil. Pada masa yang sama, majikan yang mengambil lebih daripada 5 orang PATI untuk bekerja boleh dikenakan penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak lebih 5 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
48. Tambahan lagi, JIM sentiasa tegas dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap PATI yang berada di negara ini. Sepanjang tahun 2021, sebanyak 5,206 operasi penguatkuasaan imigresen telah dilaksanakan dengan jumlah pemeriksaan melibatkan 129,259 orang warga asing, daripada jumlah tersebut sebanyak 12,462 orang warga asing telah ditangkap. Pada tahun 2022 pula, sebanyak 8,033 operasi penguatkuasaan imigresen telah dilaksanakan dengan jumlah pemeriksaan melibatkan 115,134 orang warga asing, daripada jumlah tersebut 22,804 orang warga asing telah ditangkap.
49. Pada tahun 2023 iaitu setakat 21 September 2023, sebanyak 6,453 operasi penguatkuasaan imigresen telah dilaksanakan dengan jumlah pemeriksaan melibatkan 72,411 orang warga asing, daripada jumlah tersebut sebanyak 17,655 orang warga asing telah ditangkap. JIM juga turut melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan lain-lain agensi penguat kuasa seperti PDRM, ESSCOM, APMM dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
50. Tindakan penguatkuasaan imigresen ini adalah berlandaskan aduan awam serta maklumat-maklumat lain yang diterima oleh JIM melalui panggilan telefon, kehadiran ke pejabat imigresen, e-mel dan juga surat-menyurat. Pelaksanaan operasi penguatkuasaan imigresen adalah berlandaskan kepada SOP JIM yang sedang berkuat kuasa.
51. Selain itu, YB Senator Datuk Seri Hajah Zurainah binti Musa turut menyuarakan berkenaan status pembentangan pindaan Perlembagaan berkaitan isu kewarganegaraan. Sebagaimana yang telah dimaklumkan kepada YB Senator dalam sesi Dewan Negara yang lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari 2023 dan 24 Februari 2023 telah meneliti dan bersetuju dengan Penubuhan Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan bagi meneliti serta mengkaji aspek-aspek berkaitan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan. Susulan daripada itu, kementerian ini telahpun selesai melaksanakan kajian berhubung cadangan pindaan tersebut.
52. Dapatan kajian tersebut perlu dibentangkan ke dalam persidangan Majlis Raja-Raja (MRR) selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan untuk perkenan. YAB Perdana Menteri juga telah ditaklimatkan mengenai cadangan tersebut pada 10 Julai 2023. Walau bagaimanapun, pembentangan kepada MRR yang dijadualkan pada 13 Julai 2023 telah ditangguhkan dan dijangka akan diadakan pada 25 Oktober 2023. Sekiranya MRR memberi perkenan, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan akan dibentangkan semasa Persidangan Parlimen yang akan datang pada tahun hadapan untuk kelulusan 2/3 majoriti ahli Parlimen.
53. Sehubungan itu, KDN ingin memberi jaminan dan menegaskan bahawa kementerian ini kekal komited untuk melaksanakan Pindaan Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara Kewarganegaraan.
PENUTUP
Tan Sri Yang Di Pertua,
Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua YB Senator yang telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu-isu berkaitan KDN. Saya memberi jaminan bahawa mana-mana pertanyaan yang tidak dapat dijawab pada kali ini saya akan catat untuk tindakan susulan.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.