Penerima Rebat SAVE 2.0 Masih Rendah

April 19, 2021

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) akan merancakkan lagi promosi rebat RM200 dalam program penjimatan elektrik ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) 2.0.

Pengerusi SEDA, Lukanisman Awang Sauni, berkata sehingga kini hanya RM8 juta dibelanjakan oleh pihaknya dalam program berkenaan dan setakat dimanfaatkan 40,000 isi rumah.

“Jumlah itu masih rendah kerana sepatutnya lebih 140,000 isi rumah akan menerima manfaat berkenaan berdasarkan bajet keseluruhan diberikan sebanyak RM30 juta.

“Maka kita perluaskan cara untuk menerima rebat berkenaan, jika sebelum ini menggunakan platform pembelian secara dalam talian seperti Lazada dan Shopee tetapi kini kita akan menggunakan cara tradisional.

“Antaranya membolehkan penebusan rebat itu di kedai elektronik berdekatan. Ini kerana, pembelian secara dalam talian memberi halangan kepada penduduk di kawasan luar bandar ketika penghantaran.

“Dengan cara tradisional ini, jika mereka berada di Miri misalnya, mereka boleh beli di kedai di Miri saja. Jika guna platform seperti Lazada atau Shopee, pengguna perlu membayar caj penghantaran tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Tautan Kasih SEDA, hari ini.

Lukanisman turut bercadang memperluaskan pemberian rebat berkenaan kepada barang elektrik lain.

“Sebelum ini rebat itu diberikan dua barang elektrik iaitu alat penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bertaraf 4 atau 5 bintang.

“Maka, kita menerima banyak maklum balas untuk memperluaskan barang berkenaan antaranya televisyen dan mesin basuh,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan sempena program berkenaan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap kerajaan negeri yang tidak memberikan kerjasama dalam pelaksanaan projek industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Shamsul Anuar berkata, tindakan tegas itu antara lain menarik balik kuota Tarif Galakan (FiT) yang diluluskan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kuota yang ditarik balik itu akan ditawarkan semula melalui proses bidaan secara dalam talian.

“Langkah ini penting bagi memastikan perancangan dan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan boleh dicapai dan kuota berkenaan dapat ditawarkan semula kepada pemaju projek TBB yang komited dan berdaya maju,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/808600/penerima-rebat-save-20-masih-rendah

Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1953863

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help