Beberapa penduduk dalam kawasan Parlimen Lenggong dan Parlimen Gerik yang terkandas di Hat Yai akibat banjir teruk yang melanda di wilayah itu berjaya menyelamatkan diri dengan usaha sendiri serta bantuan daripada Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Mereka adalah dari beberapa kampung termasuk Kg Ganda, Temenggor, Felda Lawin Selatan, Kg Lalang dan Kg Kerunai sebelum ini terkandas di Hat Yai dan tidak dapat pulang ke Malaysia berikutan banjir teruk.
Mereka memaklumkan bahawa tiada liputan talian telefon untuk dihubungi, malah terpaksa berjalan kaki serta menumpang lori ke Lapangan Terbang Hat Yai demi mencari capaian talian bagi mendapatkan bantuan.
Kenderaan mereka terpaksa tinggal di sana kerana air terlalu tinggi.
“Alhamdulillah, mereka akhirnya berjaya menghubungi YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah untuk memohon bantuan keluar dari Hat Yai, Thailand. Syukur juga, mereka telah selamat tiba di Gerik dengan baik.
“Alhamdulillah kerana Warga Lenggong dan Parlimen Gerik yang terkandas di Hat Yai akibat banjir dapat kembali dengan selamat ke Malaysia,” kata Shamsul dalam hantaran di Facebooknya.



