LENGGONG – Isu pencemaran air di kawasan Kenering, Parlimen Lenggong terus menjadi perhatian selepas ia dibangkitkan oleh pihak pembangkang dan tular di media sosial. Antara isu utama yang menjadi perbincangan ialah fenomena air sungai berwarna biru yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.
Dalam satu sesi penjelasan bersama media, Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Nasarah, menegaskan bahawa beliau sentiasa mengambil berat dan mengikuti rapat perkembangan isu ini. “Saya bukan sekadar ambil tahu, malah telah mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak bertindak terhadap isu pencemaran air.
Menurut Shamsul, isu pencemaran air ini bukan sahaja ditangani di peringkat daerah dan negeri, malah telah dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri. Pada 7 November 2025, kerajaan pusat telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas (task force) bagi menyelaras dan memantau isu pencemaran air sungai di Perak, khususnya insiden air biru yang tular di Lenggong.
Task force ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, serta jabatan dan agensi kerajaan negeri Perak. Turut terlibat ialah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Parit Pengairan dan Saliran Negeri Perak, serta Lembaga Air Perak.
Shamsul turut menjelaskan bahawa memang terdapat aktiviti perlombongan di kawasan tersebut, antaranya oleh Ramah Hidraulik Team Sdn Bhd (perlombongan bijih timah terbesar dan tertua di Malaysia), MCRE Resources Sdn Bhd (perlombongan unsur nadir bumi), dan Nadilah Tin Mining Sdn Bhd. Aktiviti perlombongan ini telah lama dijalankan dan bukan rahsia kepada penduduk setempat.
Beliau mengakui bahawa bahan buangan dari aktiviti perlombongan mengalir ke beberapa sungai utama seperti Sungai Indah, Sungai Kuah, Sungai Ruir, dan akhirnya ke Sungai Perak. Namun, beliau menegaskan bahawa tidak semua maklumat boleh didedahkan kepada umum kerana terdapat perkara yang masih dalam siasatan dan melibatkan aspek perundangan. Hanya jabatan tertentu yang dibenarkan memberi penjelasan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.
Antara tindakan yang telah diambil oleh pihak berwajib termasuk menghentikan sementara beberapa aktiviti perlombongan untuk tujuan kajian, mengarahkan syarikat perlombongan menaik taraf sistem pengurusan air dan kolam takungan, serta memastikan pematuhan ketat terhadap Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Penambahbaikan benteng dan penyediaan pelan pengendalian baru juga diwajibkan kepada pengusaha perlombongan.
Shamsul menegaskan bahawa tindakan diambil bukan sahaja di peringkat daerah dan negeri, malah turut melibatkan kementerian di peringkat persekutuan. “Yang penting, kita tunggu laporan dan keputusan kajian daripada pakar-pakar yang berkaitan. Jika terbukti pencemaran berpunca daripada aktiviti perlombongan, saya sendiri akan mencadangkan supaya aktiviti tersebut dihentikan demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau turut memetik kenyataan Menteri Besar Perak yang menyatakan komitmen untuk menghentikan aktiviti perlombongan sekiranya terbukti ia memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kehidupan masyarakat. “Keutamaan kita adalah rakyat, apatah lagi perkara ini berlaku dalam kawasan Parlimen saya, yang Ketua Bahagian ialah Menteri Besar sendiri,” tambah Shamsul.
Isu pencemaran air di Kenering kini terus dipantau secara serius oleh pelbagai pihak, dengan rakyat setempat menantikan hasil siasatan dan tindakan lanjut daripada kerajaan serta agensi berkaitan.


