Pembentangan RUU Penjara (Pindaan) 2026 Di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada Rabu petang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat bagi memperkukuhkan sistem pengurusan penjara negara selaras dengan agenda Reformasi Penjara dan keperluan semasa sistem perundangan negara.
Pembentangan tersebut dilakukan setelah beliau menyempurnakan Bacaan Pertama RUU berkenaan pada Selasa serta mengetuai Sesi Libat Urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia pada pagi hari yang sama.
RUU Penjara (Pindaan) 2026 ini bertujuan membolehkan Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan dasar dan pendekatan baharu yang lebih efektif dalam aspek pemulihan, pemantauan serta pengurusan banduan.
Antara cadangan utama yang diperkenalkan ialah pewujudan Bahagian baharu berkaitan Peranti Pengawasan Elektronik (Electronic Monitoring Device) bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan terhadap banduan tertentu sama ada di dalam atau di luar penjara.
Selain itu, RUU ini turut memperkenalkan peruntukan baharu mengenai perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas dengan suci hati serta peruntukan berkaitan pelantikan sukarelawan bagi membantu pelaksanaan program pemulihan banduan.
Pindaan turut melibatkan beberapa seksyen penting termasuk penubuhan dan pengurusan Lembaga Parol, peningkatan penalti am, penambahbaikan struktur perjawatan pegawai penjara serta pengukuhan fungsi pengurusan penjara dan pusat latihan pegawai penjara.
“Insyallah setelah dibahaskan esok, saya akan menggulung RUU ini,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar.
Selepas pembentangan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, RUU tersebut telah dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen yang menyentuh pelbagai aspek termasuk pemulihan banduan, keselamatan institusi penjara, penggunaan teknologi pemantauan serta usaha memperkasakan sistem keadilan jenayah negara.
Pindaan yang dicadangkan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan sistem penjara negara kekal relevan, moden dan berorientasikan pemulihan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

