KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pembaharuan itu termasuk menghubungkan pangkalan data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan sistem Jabatan Imigresen bagi memastikan pengurusan data yang berintegriti serta mematuhi keperluan keselamatan negara.
“Melalui langkah ini, semua maklumat peserta termasuk prinsipal dan tanggungan direkod dalam pangkalan data MOTAC.
“Hanya ejen berdaftar di MOTAC dibenarkan untuk mengurus permohonan dan pengurusan peserta program.
“Maklumat ejen ini turut disimpan dalam sistem bagi tujuan pemantauan dan memastikan setiap pengurusan dijalankan secara sah dan berterusan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Hasnizan dalam soalan tambahan bertanya sama ada kementerian mempunyai pangkalan bersepadu untuk menjejaki peserta MM2H dan langkah terkini untuk memastikan warga asing dalam program itu tidak menyalahgunakan pas atau visa diberikan.
Shamsul Anuar berkata, kerajaan juga mewajibkan setiap pemohon menjalani tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kelulusan diberikan, selain dikenakan kawalan ketat bagi urusan pengeluaran deposit tetap dalam pembelian hartanah melalui program itu.
Menjawab soalan asal Mohd Hasnizan mengenai langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang diambil terhadap warga asing yang diberikan visa jangka panjang MM2H, beliau berkata kerajaan menjalankan saringan silang dengan agensi keselamatan dan kesihatan bagi mengesan keterlibatan mereka dalam ancaman strategik seperti ekstremisme atau jenayah terancang antarabangsa.
“Pemohon juga perlu mengemukakan Sijil Kelakuan Baik daripada agensi penguatkuasaan negara asal bagi membuktikan mereka tiada rekod jenayah dan berkelakuan baik.
“Selain itu, tempoh sah pas MM2H dihadkan maksimum lima tahun dan bukan seumur hidup.
“Dalam tempoh pembaharuan, pihak berkuasa akan menilai semula kelayakan peserta dengan mengambil kira aspek keselamatan negara sebagai keutamaan. Jika terdapat keraguan, rekod negatif atau ancaman keselamatan dikesan, kita akan menolak permohonan pas itu” katanya.


