LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah melancarkan siri Kursus Kepimpinan Malaysia Madani yang berlangsung di Resort Tasek Raban Lenggong pada Sabtu.
Pelancaran yang berlangsung pada jam 4 petang itu menandakan bermulanya secara rasmi siri kursus berkenaan yang bertujuan melahirkan barisan kepimpinan yang sejajar dengan aspirasi dan gagasan Malaysia Madani.
Kursus ini merupakan platform penting dalam membentuk pemimpin yang berwibawa, berketrampilan serta memahami sepenuhnya prinsip Malaysia Madani untuk diterjemahkan dalam kepimpinan di pelbagai peringkat.
Pelancaran siri kursus ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan gagasan Malaysia Madani dapat dihayati dan dilaksanakan secara berkesan oleh barisan kepimpinan di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Parlimen Lenggong.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar dalam memastikan pembangunan modal insan dan kepimpinan terus diperkasakan di kawasan yang diwakilinya.


