Tahniah kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di bawah pimpinan menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah terhadap pelan jangka panjang Transformasi Industri Mineral Negara yang dilancarkan Perdana Menteri.
Pelan ini bermatlamat memajukan industri mineral berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk memberikan sumbangan berkesan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam konteks ini, tumpuan akan diberikan kepada penciptaan nilai tambah, perlombongan secara lestari dan membangun industri sokongan berasas mineral.
Pelan ini dibangunkan berasaskan lima teras utama, iaitu memantapkan tadbir urus dan perundangan mineral, membangun rantaian nilai industri mineral, memperkasa semula pemetaan dan inventori sumber mineral, penerokaan berasaskan aplikasi teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan.
Transformasi ini pasti dapat mengembalikan zaman kegemilangan sumbangan ekonomi bijih timah dan meredakan imej industri mineral tercemar kerana dikatakan ‘tidak mesra alam sekitar’. Kita semua berharap pelan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan pelaksanaan mantap dan bijaksana.
Isu kelestarian utama dalam pembangunan sumber geologi dalam industri mineral ialah kita menggunakan sumber alam tidak boleh diperbaharui.
Ini bermakna apabila habis digunakan, negara sudah tidak memiliki sumber berkenaan lagi.
Benar, jika kita mempunyai teknologi canggih dan kepakaran tinggi, penemuan longgokan baharu boleh berlaku dan kuantiti simpanan bertambah. Oleh itu, dasar pembangunan industri mineral perlu mengambil kira beberapa isu strategik dan penggunaan masa hadapan.
Limpahan sumber berkait rapat dengan fenomena geologi di suatu wilayah. Sebagai contoh ada negeri mempunyai bukit batu kapur, tetapi beberapa negeri lain tiada. Bijih timah banyak dijumpai di Perak dan Selangor, tetapi tiada di Sabah serta Sarawak.
Sesetengah sumber geologi amat melimpah, tiada masalah untuk di lombong atau di kuari, sama ada kegunaan dalam negara atau eksport. Begitupun, banyak sumber geologi kita bertabur secara terhad dan hanya sesuai untuk kegunaan dalam negara.
Analisis keberadaan, khususnya terhad, mencukupi, banyak dan melimpah luas perlu dijadikan dasar utama dalam aktiviti perlombongan dan pengeksportan sumber mineral.
Sumber geologi juga mempunyai banyak kegunaan. Jenis mineral dan batuan sama boleh digunakan untuk bahan binaan, bahan industri dan mineral atau logam berharga.
Dalam konteks ini, analisis penggunaan perlu ditimbang berasaskan kesesuaian, kelimpahan, nilai ekonomi dan nilai tambah. Contohnya, batuan granit melimpah luas di negara ini ialah batu agregat bahan binaan terbaik dan perlu diperluaskan kegunaannya.
Pada masa ini, atas dasar dekat dengan tapak pembinaan, banyak kuari batu kapur digunakan untuk bahan binaan. Walhal, ia tidak sebaik batuan granit, tetapi mempunyai banyak kegunaan lain lebih memerlukan sumber agak terhad ini.
Pertimbangan berkaitan kesesuaian penggunaan perlu diutamakan ketika memberikan kelulusan kerja pengkuarian.
Benar, negara membuat kerja pemetaan sumber mineral sejak penjajahan Inggeris . Mereka memeta untuk mencari sumber ekonomi dan teknologi bagi keperluan pembangunan.
Dalam dasar diperkenalkan suatu ketika dahulu, mereka menyatakan ‘pengeluaran sumber mineral perlu diutamakan berbanding dengan semua bentuk pembangunan lain.’
Ini jelas menunjukkan mereka hanya inginkan sumber kita untuk kepentingan mereka. Pemetaan dengan pendekatan hampir sama masih diteruskan selepas merdeka.
Dalam Pelan Transformasi Mineral Negara ini, diharap pertimbangan keperluan mineral dalam negara diutamakan, selain penerokaan secara mesra alam sekitar dan komuniti setempat.
Sumber mineral sebagai sumber tidak boleh diperbaharui, sebahagiannya hanya dijumpai secara terhad perlu mempunyai strategi jelas berkaitan kepentingan masa depan negara.
Terdapat mineral canggih seperti unsur nadir bumi bakal menjadi sumber penting untuk teknologi masa hadapan. Walaupun negara belum mempunyai keupayaan membangunkan teknologi tinggi, sekurang-kurangnya sumber ini perlu diproses dalam negara dan dijadikan bahan mentah sedia digunakan.
Dengan cara ini, negara sentiasa dalam kawalan mengeksport sumber penting ini. Tindakan mengeksport bijih mentah ke luar negara bukan tindakan bijak.
Pasti pelan ini memberikan perhatian tinggi kepada pembangunan ekonomi negara. Begitupun, pembangunan dan pengeluaran sumber bumi mempunyai beberapa implikasi keselamatan negara, isu kesihatan awam serta pencemaran alam sekitar.
Mengapa industri perlombongan dikatakan ‘industri senja’ kerana banyak negara sedang terimpak dengan kesan negatifnya. Ada masih berhadapan kerosakan jangka panjang. Untuk pelaksanaan, saya syorkan beberapa panduan diberikan perhatian tinggi.
Pertama, banyak sumber mineral di negara kita amat terhad. Pengeluar sumber begini perlu dipastikan untuk kegunaan dalam negara, bukan dieksport. Jika negara masih belum berupaya membangunkannya pada masa ini, simpan hingga mempunyai teknologi menggunakannya.
Isu kelimpahan sumber mineral perlu dijadikan asas pertimbangan bagi memastikan sumber sesuai dieksport atau tidak.
Kedua, sumber mineral ialah sumber asli hanya dijumpai di kawasan tertentu. Pengeluarannya bererti kita akan menghabiskan sumber tidak boleh diganti.
Oleh itu, sebahagian hasil jualan perlu ditabung untuk kegunaan penyelidikan sumber ganti dan kerja baik pulih kawasan lombong mengalami kerosakan kekal.
Ketiga, masyarakat tempatan di sekitar longgokan bijih akan mengalami impak terbesar sekiranya perlombongan dilaksanakan. Mereka mempunyai hubungan rapat dengan sumber dan perlu mendapatkan ganjaran setimpal.
Perkongsian menang-menang antara pengusaha lombong dengan komuniti tempatan perlu diutamakan bagi membolehkan mereka mendapat faedah bersama.
Keempat, tidak ada kerja perlombongan tidak akan merosakkan alam sekitar. Oleh itu, Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) perlu dilakukan bebas, bukan oleh pengusaha lombong bagi memastikan impak paling minimum dan tidak akan menyebabkan ‘bencana alam sekitar.’
Negara boleh meneroka dan melombong sumber mineral untuk pembangunan ekonomi serta kemajuan negara. Industri perlombongan jika tidak diurus dan dikawal baik, bakal menimbulkan pelbagai konflik sosial dan alam sekitar.
Justeru, dasar dan garis panduan penerokaan sumber mineral perlu mesra masyarakat dan mesra alam sekitar.