Pelan Induk Keselamatan Sempadan 2026-2030 Fokus Teknologi Pengawasan Pintar

July 31, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta membenteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas negara.

Beliau berkata, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Pasukan Gerak Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal keselamatan sempadan darat serta Pasukan Polis Marin yang melaksanakan penguatkuasaan di kawasan perairan pesisir dan muara sungai, sentiasa berusaha memastikan kedaulatan sempadan negara terpelihara.

“Walau bagaimanapun, agensi penguatkuasa berhadapan dengan beberapa kekangan dalam membenteras penggunaan laluan tidak sah atau ‘jalan tikus’. Antaranya ialah keadaan bentuk muka bumi yang begitu luas dan mencabar, meliputi kawasan hutan tebal, ladang, sungai serta muara yang sukar dipantau secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara, Parlimen Malaysia pada Selasa.

Ahli Parlimen Lenggong itu turut menjelaskan bahawa sindiket jenayah rentas negara sentiasa mengubah modul operasi dan lokasi pencerobohan bagi mengelak pengesanan, di samping memanfaatkan faktor geografi serta jaringan rentas sempadan yang kompleks.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan KDN bagi tahun 2026-2030, yang telah diluncurkan pada 8 Januari 2026, berfungsi sebagai kerangka dasar strategik yang menyeluruh dalam menangani cabaran keselamatan sempadan secara holistik dan sistematik melalui pengukuhan mekanisme kawalan sedia ada serta pemantapan pendekatan penguatkuasaan.

“Antara fokus pelaksanaan Pelan Induk ialah memperkukuhkan penggunaan teknologi seperti sistem pengawasan pintar iaitu dron, radar analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, mempercepatkan perkongsian maklumat secara masa nyata (real time), serta pengukuhan koordinasi operasi antara agensi penguatkuasa,” jelas beliau.

Tambah Shamsul Anuar, pendekatan tersebut dijangka dapat meningkatkan keberkesanan kawalan di kawasan berisiko tinggi termasuk laluan tidak sah di sempadan darat dan muara sungai.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa memandangkan Pelan Induk ini baru diluncurkan, adalah masih terlalu awal untuk menilai keberkesanannya secara menyeluruh. Namun, pelaksanaan setiap inisiatif akan dipantau secara berterusan melalui indikator prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap strategi dan tindakan mencapai objektif yang disasarkan.

“Kita juga dalam perancangan untuk membentuk jawatankuasa pemantau bagi melihat keberkesanan Pelan Induk ini,” kata beliau.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help