Noh Tak Perlu Jadikan Najib Sebagai Alasan Sertai Bersatu

July 7, 2024

JERLUN – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak perlu menjadikan kes Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai alasan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan Noh memilih Bersatu dipercayai disebabkan beliau mempunyai agenda tersembunyi yang kemungkinan besar menjurus kepada calon pilihan raya kecil (PRK) yang akan dikosongkan oleh wakil rakyat Bersatu di Tanjong Karang.

Menurutnya, alasan kecewa dengan kes Najib hanyalah sekadar sentimen, sebaliknya tindakan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu dipercayai didorong oleh hasrat beliau untuk menjadi calon di kerusi berkenaan.

“Kita pun tahu waktu beliau (Noh) dalam kerajaan, apa yang beliau buat untuk bela Najib. Namun tak payahlah jadikan alasan sertai Bersatu kerana Najib. Itu tak wajar dijadikan alasan.

“Beliau sebenarnya nampak peluang akan berlaku kekosongan di enam kawasan pilihan raya antaranya di Tanjong Karang. Jadi beliau menyertai Bersatu dengan harapan untuk bertanding mewakili Bersatu di situ (Tanjong Karang),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerlun di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, tidak sewajarnya Noh cuba mengaitkan Najib dalam tindakannya menyertai Bersatu yang jelas tiada kaitan langsung.

“Najib itu hanya jadi alasan saja. Ada agenda tersembunyi.

“Apa yang saya nampak, sebenarnya Noh mahu bertanding jika berlaku enam PRK yang mana salah satunya, di Tanjong Karang. Sekiranya tidak sertai Bersatu, atas platform apa nak bertanding, tentulah pilih Bersatu,” jelasnya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Noh mengesahkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas membuat permohonan secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa pada Khamis.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Noh berkata, isu Titah Adendum Najib merupakan antara perkara yang mengecewakan beliau terhadap UMNO.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/673741/berita/politik/noh-tak-perlu-jadikan-najib-sebagai-alasan-sertai-bersatu—shamsul-anuar

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help