Nasihat Shamsul Kepada Annuar Musa “Jadilah Pemimpin Bertanggungjawab”

June 27, 2022

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dinasihatkan usah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam parti dengan membuat andaian tanpa asas kukuh dan tepat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sebagai ahli parti, Ahli Parlimen Ketereh itu harus menjadi pemimpin yang bertanggungjawab.

“Jika kita mahu orang menghormati kita, maka kita juga mesti menghormati orang lain. UMNO parti yang sudah begitu lama di negara ini. Kekuatan dan imej parti bergantung kepada kita.

“Tidak perlu kita lakukan sesuatu yang merosakkan parti kerana tiada orang lain yang akan menjaga parti kita melainkan kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata tindakan menggugurkan ahli MKT UMNO sebelum tamat penggal perkhidmatan akan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Kenyataan itu merujuk kepada penyingkiran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MKT pada 21 Jun lalu.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu juga mendakwa ada beberapa nama bakal dipecat sebagai ahli MKT, namun tidak memperincikannya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sebagai ahli dan pemimpin tanpa mengira kedudukan, wajib menjaga parti.

Sementara itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menafikan spekulasi berhubung perpecahan dalam UMNO.

“Tak benar spekulasi macam-macam yang bertebaran di luar. Apa-apa keputusan hanya akan keluar secara rasmi dan janganlah percaya pada manipulasi pihak tertentu yang sengaja nak pecah-belahkan kesepakatan dalam UMNO.

“Ingatlah dahulu kita tumbang kerana fitnah dan macam-macam spekulasi yang bertebaran,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada MKT UMNO susulan surat mengenai keputusan berkenaan bertarikh 21 Jun lalu yang tular.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjelaskan sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca beliau digugurkan.

Susulan pengguguran itu, timbul pelbagai spekulasi mendakwa UMNO semakin retak berikutan berlaku perpecahan dalaman sehingga wujud persepsi ada dua kumpulan dominan yang ingin menguasai parti itu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/970342/nasihat-shamsul-kepada-annuar-musa-jadilah-pemimpin-bertanggungjawab

MalaysiaGazette: https://malaysiagazette.com/2022/06/27/annuar-jangan-cetus-suasana-tidak-tenteram-dalam-parti-sendiri-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help