MoU UTM-Lenggong Geopark Buka Laluan Pusat Kajian Pertama Di Lenggong UNESCO
LENGGONG – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama yang secara rasmi membuka pusat kajian di kawasan Lenggong UNESCO Global Geopark. Perkembangan ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam merealisasikan usaha menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka, sejajar dengan statusnya sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Inisiatif tersebut dimuktamadkan melalui Majlis Penandatanganan Persefahaman (MoU) antara UTM dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark yang berlangsung pada 1 April 2026, jam 9.00 malam di Resort Tasik Raban, Lenggong. Pemeteraian kerjasama ini dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada aktiviti penyelidikan, pembangunan ilmu, serta penglibatan akademik berasaskan lokasi di Lenggong, sekali gus menyokong pengukuhan ekosistem pendidikan berteraskan landskap dan komuniti.
Ahli Parlimen Lenggong, YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa langkah tersebut bermula hasil perbincangan bersama Naib Canselor UTM yang juga merupakan anak kelahiran kawasan Parlimen Lenggong. Beliau menyifatkan kesediaan UTM untuk menjadi universiti perintis sebagai satu contoh penting kepada institusi lain dalam menjayakan aspirasi menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka.
Menurut beliau, program pada malam berkenaan menandakan permulaan kepada agenda yang lebih menyeluruh. Pada hari yang sama, seramai wakil daripada 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut dibawa melawat ke kawasan Lenggong Geopark bagi memberikan pendedahan awal ke arah perancangan yang sedang dirangka, termasuk potensi pelaksanaan program akademik dan pembelajaran lapangan secara lebih tersusun.
Lawatan serta program berkaitan disusun bersama Majlis Pelancongan Lenggong dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, pengurusan geopark, serta komuniti setempat, di samping mengangkat peranan Lenggong sebagai hab pendidikan terbuka yang memanfaatkan keunikan warisan dan landskap bertaraf UNESCO.

