Misi Mencapai Lenggong Global Geopark Pada 2023

December 22, 2021

PUTRAJAYA: Lenggong mampu ke hadapan dalam pelbagai sektor susulan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu selain mampu memberi impak besar kepada penduduk dan negeri Perak.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengiktirafan Lenggong diharapkan dapat mengekalkan kelestarian alam semula jadi sekali gus menjana pendapatan rakyat melalui pelbagai kegiatan ekonomi seperti kewujudan kawasan penginapan pelancongan dan memperkasakan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Katanya, Lenggong mempunyai pelbagai keunikan sehingga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 dan kini mendapat pengiktirafan terbaharu yang merupakan sesuatu yang sangat dinanti dan besar ertinya.

“Pengiktirafan Lenggong mengiktiraf pelbagai sejarah formasi geologi yang bertaraf antarabangsa berikutan wujudnya sembilan tapak Geoarkeologi. Malah, sewaktu mengetuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, saya meminta penyelidikan dibuat di Lenggong bagi membolehkan Lenggong dinilai oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan.

“Keunikan Lenggong turut diakui para penyelidik, Lenggong Geopark yang berkeluasan 2,068 kilometer persegi yang kaya dengan pelbagai keunikan landskap batuan seperti wujudnya 27 geotapak, lapan biotapak warisan biologi dan 18 tapak budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar berkata, dalam usaha itu, pembangunan Lenggong mesti dilakukan supaya ia dapat diangkat sebagai Lenggong Global Geopark pada 2023.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat termasuk pasukan yang diketuai Prof Datuk Dr. Mokhtar Saidin dan Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komo serta yang lain.

“Bagi semua jabatan, agensi dan masyarakat Lenggong perlulah merebut peluang ini untuk sama-sama mendapat manfaatnya. Kita mesti bertanggungjawab dan bersama memelihara, menjaga keindahan dan keunikan serta keunikan Lenggong,” katanya.

Semalam, melaporkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Lenggong, Perak dan Labuan, Sabah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak, Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah dan Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan yang diterajui Kerajaan Persekutuan melalui kementerian itu.

Pengiktirafan Lenggong dan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan dibuat pada 16 Disember lalu semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021.

Menurut Takiyuddin, ia satu pencapaian signifikan kepada negara, khususnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam pemeliharaan kelestarian alam semulajadi dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-UTUSAN ONLINE

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/12/misi-mencapai-lenggong-global-geopark-pada-2023/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help