‘Mini Amazon’ Tasik Raban Pukau Pelawat

January 25, 2024

LENGGONG: Keindahan dan keunikan Tasik Raban, di sini yang terletak dalam daerah Hulu Perak, tidak dapat disangkal hingga digelar ‘Mini Amazon’ dan ditambah lagi dengan imej Lembah Lenggong yang mendapat pengiktirafan peringkat global sebagai Tapak Warisan Dunia.

Tasik buatan berkeluasan 25.9 kilometer persegi yang dahulunya dikenali Tasik Chenderoh itu terhasil daripada aliran Sungai Perak yang disekat oleh projek empangan hidroelektrik pertama negara ini yang dibina pada 1928, seterusnya menghasilkan limpahan Sungai Perak lalu membentuk puluhan pulau kecil.

Dikelilingi suasana berair dan dipagari suasana gunung dari dua banjaran yang terbentang luas iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, menambahkan lagi pesona Tasik Raban.

Tasik ini membentuk ekosistem akuatik unik dengan nilai estetik dan kepelbagaian biologi tinggi kerana kaya dengan tumbuhan mengkuang, rumput air dan teratai di bahagian hulu tasik berkenaan.

Selain itu, ia turut diserikan beberapa perkampungan tradisional dengan komunitinya hidup bergantung sumber tasik itu.

Pengendali bot pelancong tasik itu, Hasnan Mohamad Yusoff, 62, berkata pelancong lebih didedahkan dengan keindahan panorama Tasik Raban, berbanding kisah kewujudan tasik berkenaan hingga mengakibatkan beberapa perkampungan tenggelam.

Bertapak di jeti dalam Resort Tasek Raban, Hasnan yang mengendalikan Bahagian Eksplorasi Bot atau Lenggong Boat Cruise di bawah jenama Lenggong 360, berkata selain perkhidmatan bot persiaran, pihaknya turut menawarkan aktiviti lain seperti berkayak untuk eksplorasi tasik dan sewaan bot bagi memancing.

“Selain menceritakan perihal sejarah, pengunjung turut dibawa ke beberapa perkampungan tradisional yang ada.

“Pakej lengkap menggunakan bot persiaran ini adalah RM300 untuk satu bot yang boleh memuatkan maksimum 10 pengunjung dengan tempoh pelayaran selama 2 jam membabitkan jarak lebih 20 kilometer,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata lebih RM2 juta dibelanjakan untuk pembangunan di kawasan Tasik Raban sepanjang tahun 2023 bagi memastikan kawasan itu akan terus dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Lembah Lenggong.

Difahamkan, peruntukan itu termasuk bagi menaik taraf kawasan landskap Geotrail Tasik Raban yang turut membabitkan beberapa perkampungan sekitar seperti Kampung Beng di Batu Ring yang membabitkan jeti di kampung itu, serta Kampung Darau.

Beliau berkata, penganjuran festival aktiviti luar Lenggong Outdoor Festival (LODF) di sekitar Tasik Raban buat kali ketiga yang dirancang diadakan pada Jun tahun ini, diyakini membawa impak positif kepada pembangunan sektor pelancongan di Lenggong.

Pelancongan Persisir Sungai adalah antara salah satu daripada agenda melalui pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah flagship (inti pati) Ekonomi Pengalaman dengan setiap pihak berkuasa tempatan di sepanjang Sungai Perak diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1204434/mini-amazon-tasik-raban-pukau-pelawat

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help