Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembinaan Kompleks Sukan Lawin, Gerik
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada hari ini mengadakan Mesyuarat Penyelarasan berhubung projek pembinaan Kompleks Sukan Lawin, Gerik, Perak yang terbengkalai sejak tahun 2018 berikutan kegagalan kontraktor pelaksana menyiapkan projek tersebut.
Mesyuarat yang berlangsung di bangunan Parlimen Malaysia pada jam 12.00 tengah hari Rabu itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) serta pegawai-pegawai daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Shamsul Anuar, yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, perbincangan merentas kementerian tersebut diadakan secara khusus bagi mencari penyelesaian muktamad terhadap projek bermasalah yang telah sekian lama menjadi keluhan penduduk setempat.
“Projek ini menjadi isu rakyat kerana kegagalan kontraktor pelaksana melaksanakan projek ini. Ia telah terbengkalai sejak 2018 lagi,” kata beliau.
Beliau menegaskan bahawa perbincangan tersebut bertujuan untuk memastikan langkah-langkah konkrit dapat diambil bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai itu yang telah gagal disiapkan dalam tempoh hampir lapan tahun, sekali gus memastikan kepentingan dan kebajikan penduduk di kawasan Lawin, Gerik terbela.
Projek Kompleks Sukan Lawin merupakan kemudahan infrastruktur sukan yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan Parlimen Lenggong bagi manfaat generasi muda dan komuniti setempat.

