Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke 78

January 29, 2021

1. YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada hari ini secara persidangan video. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Menteri-menteri Kanan serta Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dan Menteri-menteri Besar/ Ketua-ketua Menteri.

2. Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ini diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui konsultasi (rundingan) dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara, suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya.

3. YAB Perdana Menteri dalam perutusannya menyatakan sudah tiba masanya negara melihat impak pembangunan industri dalam sektor sumber asli dalam konteks kelangsungan kehidupan manusia dan pemeliharaan khazanah alam. Untuk itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air telah diarahkan untuk mengesyorkan kepada kerajaan tindakan penyelesaian segera dan praktikal berhubung isu pengkuarian di dalam Hutan Simpanan Kekal dan kawasan berhutan lain yang berfungsi sebagai rizab hidupan liar, kawasan penempatan Orang Asli dan masyarakat setempat, kawasan tadahan air serta kawasan sensitif alam sekitar yang lain.

4. Pada Mesyuarat MTN kali ini, terdapat lapan (8) kertas telah dibentangkan yang menyentuh mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan tanah dan perhutanan.

5. Mesyuarat MTN kali ini melakar sejarah dalam bidang pengurusan perhutanan yang telah menjangkau usia 120 tahun pada tahun 2021 dengan penerimaan satu dasar di peringkat Persekutuan iaitu Dasar Perhutanan Malaysia 2020 (DPM 2020). Penggubalan DPM 2020 adalah hasil rundingan dan konsultasi ketiga-tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak tahun 2016. Dasar ini menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran-cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa. Selain itu, MTN juga telah bersetuju dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 (DPSM 2020) bagi menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang terpakai di Semenanjung. Ketiga-tiga dasar perhutanan wilayah iaitu Dasar Hutan Sabah 2018, Sarawak Forest Policy 2019 dan DPSM 2020 yang memberikan tumpuan kepada pengukuhan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan akan menjadi sebahagian dari DPM 2020.

6. MTN juga telah bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 kecuali cadangan pindaan mengenai peruntukan mengadakan penyiasatan awam dan keperluan untuk penggantian serentak Hutan Simpanan Kekal yang diwarta keluar. Konsultasi dengan Kerajaan-kerajaan Negeri akan diteruskan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sebelum Rang Undang-undang ini dibentangkan di Parlimen. Pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] kali ini merupakan pindaan kali ke-2 sejak pertama kali dilakukan pada tahun 1993. Pindaan yang dicadangkan meliputi peruntukan-peruntukan bagi mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK), memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan sehingga RM5 juta dan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar serta peruntukan bagi mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta 313.

7. MTN juga bersetuju dengan Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) (Borang-Borang Permohonan) (Pindaan) 2020 dan pindaan ke atas Jadual Kelima Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318]. Pindaan bagi Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) melibatkan pindaan ke atas semua borang permohonan dari segi penambahbaikan rujukan perundangan terkini serta keperluan permohonan selaras dengan kehendak pembangunan semasa, pembetulan rujukan peraturan bagi borang permohonan dan juga penyusunan semula tatabahasa. Manakala pindaan ke atas Jadual Kelima Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] dilaksanakan bagi memastikan Borang A yang bersesuaian digunakan oleh Pendaftar selari dengan kondusi pembangunan skim strata dan selaras dengan integriti dan punca kuasa perundangan tanah yang sedang berkuat kuasa.

8. Cadangan Penggubalan Akta Tanah Kampong Bharu dan Pemansuhan Kaedah-Kaedah Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu (Kuala Lumpur) 1950 juga telah dipersetujui di MTN ke-78. Walau bagaimanapun, konsultasi dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan pihak-pihak yang berkepentingan akan diteruskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum cadangan penggubalan akta ini dimuktamadkan. Akta Tanah Kampong Bharu digubal untuk terus melindungi kepentingan orang Melayu di kawasan Kampong Bharu di samping mengekalkan status istimewa tanah rizab MAS di kawasan tersebut. Selain daripada itu, akta ini akan berupaya memantapkan serta menambah baik tadbir urus dan pengurusan pemilikan tanah rizab MAS di Kampong Bharu.

9. MTN pada kali ini juga mengambil maklum berkenaan pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Dengan bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” atau “Greening Malaysia: Our Trees, Our Life”, kempen ini mensasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025. YAB Perdana Menteri telah menyarankan agar elemen penanaman pokok diterapkan bagi menggantikan gimik-gimik konvensional dalam semua acara rasmi Kerajaan dan swasta bagi menjimatkan kos dan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

10. Antara perkara penting yang dibentang di dalam Mesyuarat MTN kali ini juga ialah berkenaan pelaksanaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] yang menyediakan tatacara yang jelas kepada pengguna dan pemberi sumber biologi untuk mengakses sumber biologi termasuk pengetahuan tradisi (traditional knowledge) serta perkongsian faedah. Melalui penguatkuasaan Akta 795 pada 18 Disember 2020, bidang kuasa ke atas sumber biologi kekal kepada setiap negeri di mana permohonan akses kepada sumber ini akan dipertimbangkan sebelum dikeluarkan permit oleh negeri di mana lokasi sumber biologi tersebut diperolehi. YAB Perdana Menteri telah menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri bersama-sama berganding bahu menggunakan sumber dan kepakaran tempatan bagi meningkatkan pemuliharaan dan penyelidikan sumber biologi kerana ia mempunyai potensi yang bernilai tinggi terutamanya dalam bidang perubatan dan farmaseutikal.

11. Akhir sekali, MTN ke-78 juga dimaklumkan berkenaan penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan pemantauan tanah negara oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Teknologi ini dapat membantu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan agensi Kerajaan dengan menambah baik kaedah penyampaian menerusi aplikasi teknologi baharu yang dapat menjimatkan kos dan masa. Justeru, YAB Perdana Menteri menyarankan agar teknologi angkasa diaplikasikan dalam pengurusan sumber semula jadi.

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH
29 JANUARI 2021

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help