Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
KUALA LUMPUR — Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia berlangsung pada Jumaat lalu di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn di sini, dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli MKT UMNO yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam situasi politik negara yang semakin dinamik, perkara paling penting yang perlu dilakukan ialah memperkukuhkan parti.
“Cabaran pasti ada, dugaan pasti datang, tetapi percayalah rakyat akan memilih yang terbaik untuk masa depan mereka.
“Maka pastikan UMNO BN adalah yang terbaik untuk rakyat agar rakyat memilih kita,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong menegaskan bahawa kekuatan parti perlu dibina dari akar umbi bagi memastikan UMNO BN terus kekal relevan sebagai pilihan utama rakyat.
Mesyuarat MKT merupakan platform tertinggi dalam membincangkan hala tuju serta strategi parti, termasuk persediaan menghadapi landskap politik semasa.

