Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah Bil.1/2026
PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, YB Shamsul Anuar Nasarah, telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil.1/2026 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Mesyuarat tersebut berlangsung pada jam 2.30 petang di Bangunan Perdana Putra.
Mesyuarat JKMD kali ini memberi tumpuan kepada enam fokus utama dalam usaha memerangi gejala dadah di negara ini. Antara fokus yang dibincangkan termasuk kajian semula Dasar Dadah Negara, pelaksanaan gerakan komunikasi nasional antidadah, pengukuhan pencegahan komuniti, rawatan tanpa stigma, penggunaan teknologi digital dalam pencegahan dan pemulihan, serta pemerkasaan perjawatan antidadah.
Kehadiran YB Shamsul Anuar Nasarah menzahirkan komitmen Kementerian Dalam Negeri dalam memperkukuh usaha membanteras gejala dadah melalui kerjasama strategik antara kementerian, agensi kerajaan, dan komuniti. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dirangka bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik dan berkesan dalam menangani isu dadah di Malaysia.
Mesyuarat ini turut menekankan kepentingan penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan agenda nasional membanteras dadah, selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sihat, selamat, dan sejahtera.

