Mesyuarat Pembangunan Santuari Gajah Perak
Sempena Lawatan Rasmi saya ke Negeri Perak.
Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat dan mendengar taklimat mengenai Projek Santuari Gajah Perak di Pejabat Daerah Hulu Perak , Gerik.
Sehubungan dengan ini, saya ingin maklumkan bahawa, Santuari Gajah Perak akan dibina di Perak dengan peruntukan kira-kira RM40 juta melalui Kementerian, Tenaga Dan Sumber Asli dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu, sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi menjayakan perancangan ini.
Pembinaannya akan dilaksanakan awal tahun hadapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, di kawasan seluas 40 hektar di Sungai Chermin, Batu 11, Jalan Raya Timur Barat. Bagaimanapun kajian dan perlantikan perunding akan dilakukan tahun ini supaya pembinaanya boleh dimulakan tahun 2021.
Pusat itu nanti diharap akan menjadi pusat pemuliharaan gajah, sekali gus akan dapat mengurangkan konflik antara haiwan liar itu dengan manusia.
Dan oleh kerana kawasan pembinaan pusat ini menarik dan berhampiran Royal Belum, maka saya telah meminta agar pembinaanya berkonsepkan pelancongan supaya manfaat pembinaanya akan dinikmati oleh pelbagai pihak terutama mewujudkan pelbagai peluang melalui kegiatan ekonomi di Negeri Perak khususnya masyarakat di kawasan ini.
Konsep Santuari Gajah Perak itu difahamkan hampir menyerupai Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.
Malah kedudukannya berhampiran Jalan Raya Timur Barat, maka ia akan lebih mudah untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
Pusat itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rumah pekerja, rumah pengawal, tandas, menara pandang, surau, wakaf, pelantar pelepasan, pusat asuhan, stor makanan, laluan untuk kemudahan pelancong.
Saya yakin pusat ini akan menjadi tarikan baru pelancongan bagi Negeri Perak.
Bagi memastikan pusat ini memiliki keistimewaan dan menarik, saya harap perunding akan membentangkan cadangan perancangan untuk diteliti sebelum keputusan mutamad dilakukan.
YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli.
#lenggong #KeTSA #AkademiUMNOMalaysia #umnobn #lenggong #Gerik