Mesyuarat Agung Tahunan 2022 Pertubuhan Peladang Kawasan Lenggong
Antara ucapan saya:
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM SEJAHTERA
1.Segala puji dan syukur kepada Allah SWT diatas izin serta limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama didalam majlis pada hari ini. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada pihak jawatankuasa serta kepimpinan pertubuhan diatas kesudian jemputan bagi merasmikan mesyuarat agung tahunan serta tahniah dalam menjayakan majlis pada hari ini.
2.Mengimbau kembali objektif penubuhan pertubuhan peladang adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu. Alhamdulillah, ini dapat saya saksikan sendiri bagaimana berkembangnya pertubuhan peladang bagi kawasan ini.
3.Penularan wabak Covid-19 di Malaysia menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi lumpuh seketika. Sektor ekonomi kini bangkit semula secara perlahan-lahan, tetapi amalan perniagaan tidak lagi sama seperti sebelum ini. Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, 12.4 peratus daripada 15.1 juta jumlah pekerja bekerja dalam sektor pertanian. Dalam senario pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini, adalah penting untuk memahami kesan Covid-19 yang boleh mengganggu terhadap makanan dan pertanian dalam konteks global.
4.Covid-19 telah mempengaruhi semua proses yang menghubungkan pengeluaran dari peringkat ladang sehingga kepada pengguna akhir. Selain itu, ia juga melumpuhkan sistem pengeluaran makanan dan rantaian nilai makanan. Kesan negatif pandemik terhadap bekalan dan permintaan untuk makanan boleh membawa risiko kepada keselamatan makanan negara.
5.Penularan wabak ini merupakan salah satu punca kepada risiko berlakunya isu keselamatan makanan dan antara lain adalah peperangan diantara Rusia dan Ukraine. Apabila berlakunya peperangan sebegini, ia memberi tekanan terhadap rantaian bekalan makanan di seluruh dunia. Ia memberi ancaman kepada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk. Jika ianya berlarutan, kesan ataupun impak yang akan diterima oleh kita adalah dari segi input perladangan/pertanian seperti harga baja, racun, benih, dan sebagainya yang akan mengakibatkan berlakunya inflasi.
6.Keselamatan makanan (food security) telah didefinisikan oleh Jawatankuasa Keselamatan Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN World Food Security Committee) sebagai, “setiap individu pada setiap masa mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan pilihan mereka dengan mencukupi, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan pemakanan yang bersesuaian dengan gaya hidup yang aktif dan sihat”. Berdasarkan definisi ini, FAO (Food & Agriculture Organization – UN) telah membahagikan konsep keselamatan makanan kepada 4 kriteria utama iaitu :
a. Ketersediaan (Availability)
b. Akses (Accessibility)
c. Penggunaan (Utilization)
d. Kestabilan (Stability)
7.Oleh itu, bagi memastikan negara kita mampu untuk menampung jumlah bekalan makanan serta tidak terkesan dengan mana-mana konflik dunia, antara perancangan yang boleh dilaksanakan adalah penggunaan teknologi perladangan/pertanian yang mampan serta memfokuskan terhadap penyelidikan yang mampu meningkatkan hasil negara dengan lebih pesat dimana ia boleh memenuhi definisi yang telah dinyatakan oleh Jawatankuasa Keselamatan Makanan Dunia – UN dari segi ketersediaan dan akses kepada makanan.
8.Sebagai contoh, dapat kita lihat negara-negara yang ke hadapan dalam bidang keselamatan makanan seperti Finland, Ireland, Belanda, Jerman, Jepun, Singapura dan Korea Selatan telah lama meningkatkan keupayaan teknologi untuk berkhidmat kepada rakyatnya menerusi “Society 5.0” versi masing-masing. Ia merangkumi kemampuan untuk menyediakan sumber makanan kepada rakyatnya.
9.Melihat kepada kesediaan negara-negara ini dalam menghadapi cabaran isu keselamatan makanan, kita boleh mengambil contoh yang sama serta mempelajari kaedah yang bersesuaian untuk dilaksanakan di negara kita. Ini kerana, isu ini tidak hanya membabitkan satu pihak sahaja namun ia merangkumi kesemua peringkat dan kesediaan kita untuk melaksanakannya.
10. Menerusi projek rintis Digital Agtech yang dilaksanakan oleh MDEC telah memperlihatkan keupayaan teknologi digital dan automasi didalam bidang pertanian dan perladangan dimana ia mampu meningkatkan produktiviti, kualiti dan pendapatan. Oleh itu, usaha ini harus diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dipraktikkan kepada semua pihak bagi merealisasikan agenda negara dan memastikan isu keselamatan makanan ini tidak menjadi suatu masalah yang besar bagi seluruh masyarakat setempat.
11.Saya yakin dan percaya, Pertubuhan Peladang Kawasan ini akan terus maju jaya dan sentiasa kehadapan kerana anda juga merupakan ‘frontliners’ bagi seluruh masyarakat di kawasan ini dalam mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat serta berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi kea rah mewujudkan masyarakat peladang yang sentiasa komited dan bertanggungjawab.