Merasmikan Hari AADK Bersama Masyarakat Di Perkarangan IWK Eco Park Pantai Dalam KL
TEKS UCAPAN
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera
1. Pertamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah kurnia-Nya jua, kita telah diberikan kesempatan waktu pada petang ini untuk berhimpun di Hari AADK Bersama Masyarakat Tahun 2023 pada hari ini.
2. Seterusnya, saya mengalu-alu dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dapat bersama di majlis ini. Saya pasti bahawa kehadiran semua dalam majlis ini adalah satu manifestasi semua peringkat kepimpinan di negara ini untuk terus mendokong usaha Kerajaan dalam membendung gejala penyalahgunaan dadah yang pada hemat saya masih lagi menjadi Musuh Nombor Satu Negara dan menjadi ancaman kepada keselamatan serta kesejahteraan negara.
Hadirin sekalian,
3. Dalam usaha mencapai misi dan matlamat Dadah Terkawal 2025, Kementerian Dalam Negeri melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjur Hari AADK Bersama Masyarakat bertujuan mempromosi serta menyampaikan perkhidmatan AADK kepada masyarakat di samping meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai peranan komuniti untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha memerangi dadah secara menyeluruh.
4. Pelaksanaan program ini juga sebagai platform menyebarluas mesej-mesej antidadah menggunakan saluran kempen berkesan kepada masyarakat. Program Hari AADK Bersama Masyarakat ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pihak industri, Badan Bukan Kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam usaha pencegahan dadah secara holistik di negara ini.
Hadirin Sekalian,
3. Kementerian Dalam Negeri telah diamanahkan untuk menerajui usaha membendung gejala penyalahgunaan dadah ini meliputi usaha-usaha menyekat bekalan dadah dan bahan terlarang sektor huluan yang diterajui oleh Polis Diraja Malaysia dan dibantu oleh agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengawal penyeludupan di perairan tanah air dan juga Kastam Diraja Malaysia di bawah Kementerian Kewangan untuk mengawal bekalan daripada menembusi pintu-pintu masuk negara.
4. Di peringkat hiliran pula, KDN melalui AADK dipertanggungjawabkan untuk mengekang permintaan melalui usaha-usaha meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya penyalahgunaan dan penagihan dadah dan juga melalui program-program pendidikan pencegahan yang dibangunkan untuk kumpulan-kumpalan sasar di peringkat keluarga, institusi pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah sehinggalah peringkat pengajian tinggi, tempat kerja dan komuniti.
5. Bagi mereka yang telah tersilap langkah dan terjebak dengan penagihan dadah, AADK menyediakan program rawatan dan pemulihan yang komprehensif. Program ini merangkumi Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti dan Rawatan Dalam Institusi bagi mereka yang hadir secara sukarela atau diperintahkan oleh mahkamah.
6. Selain itu, penagih-penagih dadah juga sebenarnya boleh hadir secara sukarela untuk menjalani rawatan pemulihan di pusat-pusat pemulihan dadah persendirian atau swasta yang berdaftar dengan KDN ataupun di fasiliti-fasiliti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pendek kata, akses kepada rawatan secara evidence-based yang ditekankan oleh pihak United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) telah pun disediakan kepada rakyat Malaysia yang mengalami masalah penagihan dadah.
Hadirin Sekalian,
7. Di peringkat Kerajaan, segala usaha sentiasa dipergiatkan untuk membendung gejala dadah ini. Pada hari ini, saya juga ingin mengajak masyarakat Malaysia untuk bersama-sama melawan ancaman Musuh Nombor Satu Negara ini dengan cara memastikan rumah kita tidak ditembusi dengan bekalan dadah dan tidak ada permintaan ke atas dadah dalam kalangan ahli keluarga kita. Itu yang dimaksudkan dengan mesej Pencegahan Bermula Di Rumah.
8. Suka juga saya berkongsi fakta bahawa pola penyalahgunaan dadah di negara kita pada hari ini telah beralih kepada dadah jenis sintetik. Pada tahun 2022, 65 peratus daripada penagih dadah yang menjalani rawatan dan pemulihan di fasiliti-fasiliti AADK adalah mereka yang menyalah guna atau menagih dadah jenis sintetik dan mereka ini adalah remaja dan belia.
9. Lebih membimbangkan lagi, pengambilan dadah jenis sintetik ini tidak lagi perlu di port-port tertentu, sebaliknya dilakukan di dalam rumah masing-masing. Selain daripada rupa bentuk dan pembungkusannya boleh menyerupai produk-produk biasa, penghasilannya juga boleh dibuat di rumah. Bukan setakat itu, akses untuk mendapatkan dadah sintetik ini semudah hanya dengan membuat pesanan melalui platform atas talian dan dihantar melalui khidmat penghantaran yang sama dengan produk-produk lain.
10. Oleh itu, kami di KDN berpandangan bahawa kawalan kendiri oleh institusi kekeluargaan dan juga masyarakat setempat amatlah diperlukan bagi menghadapi ancaman ini. Ketua keluarga perlu menjaga rumah masing-masing sebagaimana KDN mengawal negara. Kami yakin langkah sedemikian akan dapat menyekat permintaan dan pada masa yang sama mengurangkan permintaan kepada bekalan dadah dan bahan terlarang di negara ini.
Hadirin Sekalian,
11. Dadah terbukti meruntuhkan institusi keluarga dan membawa masalah pelencongan sosial dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan dan sengketa disebabkan kemerosotan ekonomi keluarga dan ketirisan wang asbab kebergantungan terhadap dadah. Implikasi pengambilan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem biologikal diri seseorang seperti kerosakan saraf, hilang kewarasan dan mengundang pelbagai penyakit bahaya, malahan berlaku perubahan tingkah laku seperti menipu, mencuri, langsang (agresif) sehingga sanggup membunuh untuk mendapatkan wang membeli bahan berkenaan.
12. Akibatnya, mereka ini akan disisihkan oleh keluarga dan masyarakat dan memerlukan port untuk meneruskan tabiat buruk ini. Jumlah penagih dadah yang ramai dan wujudnya port pengedaran dan penagihan dadah yang semakin bertambah menyebabkan kawasan tersebut berisiko tinggi dan sangat terdedah kepada merebaknya kes-kes baharu dan juga masalah pelencongan sosial yang lain. Atas dasar inilah AADK telah mengistilahkan kawasan ini sebagai Kawasan Berisiko Tinggi Penagihan Dadah (KBT).
13. Sehubungan itu, satu usaha kolabratif telah digerakkan oleh AADK bagi membasmi gejala penagihan dadah dan pelencongan sosial di KBT di seluruh negara. Usaha kolabratif ini melibatkan semua agensi serta jabatan Kerajaan bersama-sama dengan komuniti dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi melaksanakan program atau aktiviti secara kolaboratif dan bersepadu untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial melibatkan perkongsian sumber seperti tenaga, kepakaran, peruntukan kewangan dan logistik yang ada di kawasan tersebut.
14. Sebanyak 155 buah kawasan berisiko tinggi (KBT) dikenal pasti untuk ditukar kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat-peringkat. Sasaran AADK adalah untuk menurunkan risiko dan mengekalkannya di bawah kategori risiko rendah penagihan dadah di semua kawasan tersebut menjelang akhir tahun 2025. Suka saya maklumkan bahawa sehingga bulan Ogos 2023, AADK telah mencapai sasaran 73 buah KBT atau 47% telah berjaya diturunkan risikonya ke tahap rendah. Sasaran KDN pada akhir tahun 2023 ini ialah 78 buah KBT daripada 155 KBT akan berada di tahap risiko rendah.
15. Sebagai susulan daripada usaha untuk mengekalkan status kawasan ini, kesemua KBT yang telah berjaya diturunkan tahap risikonya iaitu Kawasan Bebas Dadah (KBD) akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat untuk menjaganya dan mengekalkan status risiko rendah. Oleh itu, pada hari ini, 16 kawasan yang berjaya ditukar daripada status KBT ke KBD pada Tahun 2021 akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat.
16. Penyerahan ini adalah satu bentuk community empowerment kepada masyarakat setempat untuk terus menjaga kawasan ini daripada ancaman penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial. Harapan saya adalah untuk masyarakat di kawasan ini dapat meneruskan usaha-usaha yang telah dijalankan sebelum ini untuk terus kekal berisiko rendah dan menjadi rujukan dan contoh teladan kepada kawasan-kawasan yang lain.
Hadirin Sekalian,
17. Berdasarkan Kajian Prevalen Penagihan Dadah di Kalangan Belia di Malaysia yang dijalankan oleh KDN bersama Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2022 mendapati bagi setiap 100 orang belia, enam orang mengaku pernah mengambil dadah sepanjang hayatnya, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah. Kegusaran daripada dapatan ini telah mendorong AADK untuk mempergiatkan lagi usaha memberikan kesedaran dan mendidik golongan remaja dan belia untuk menjauhi daripada mengambil dadah.
18. Salah satu strategi yang diambil oleh AADK adalah dengan menubuhkan SKUAD Antidadah yang terbuka kepada golongan belia di negara kita. SKUAD Antidadah adalah entiti kesukarelawanan dan peranan utama adalah untuk menggerakkan apa jua program dan aktiviti antidadah yang menjurus kepada gaya hidup sihat. Program atau aktiviti ini disarankan yang kontemporari dan sesuai dengan kehendak golongan remaja dan belia di kawasan masing-masing. Kita mahu masa senggang remaja dan belia di seluruh pelusuk negara dipenuhi dengan pelbagai program dan aktiviti yang sihat yang dapat mengelakkan golongan ini daripada sibuk dengan aktiviti tidak sihat termasuk menagih dadah.
19. Pada masa ini, keahlian SKUAD Antidadah telah mencecah 100,000 orang. Dengan itu, satu kempen ke arah Satu Juta Ahli SKUAD Antidadah akan saya lancarkan untuk menggiatkan lagi pelbagai program dan aktiviti gaya hidup sihat di 176 daerah di seluruh negara. Saya menyeru belia-belia di negara ini untuk menyertai SKUAD Antidadah dan bersama-sama secara sukarela menggerakkan apa jua program dan aktiviti yang boleh menghindari diri dan rakan-rakan sekeliling daripada ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah di kawasan masing-masing.
20. Di samping itu, ahli-ahli SKUAD Antidadah juga boleh membantu ketua keluarga dan pemimpin komuniti untuk menjaga keluarga dan kawasan tempat tinggal masing-masing daripada ancaman dadah serta memperluaskan mesej antidadah melalui amalan gaya hidup sihat tanpa dadah secara kendiri. Marilah bersama-sama melalui SKUAD Antidadah untuk melawan Musuh Nombor Satu Negara.
21. Bagi menyemarakkan lagi usaha menangani masalah dadah di tempat kerja, pihak kerajaan telah melaksanakan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD). Program ini melibatkan tujuh langkah atau inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh organisasi bagi memastikan tempat kerja selamat dari ancaman dadah. Antaranya komitmen pengurusan pihak atasan, pembangunan polisi dan penubuhan jawatankuasa, latihan, program pendidikan dan kesedaran disamping menggalakkan penglibatan langsung organisasi dalam tanggungjawab sosial (Corporate Social Resposibility).
22. Tahniah kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang turut serta dalam program ini. Tidak dilupakan sekalung penghargaan kepada Goverment Link Company (GLC) khususnya PETRONAS dan sektor swasta iaitu Genting Malaysia Berhad kerana mengambil tanggungjawab melaksanakan program ini. Kerajaan menyeru agar semua majikan turut menjayakan program TEKAD ini bagi memastikan persekitaran tempat kerja yang kondusif, selamat dan bebas dari permasalahan dadah.
Hadirin Sekalian,
23. Akhir kata, saya ingin mengucapkan sekali lagi setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua dif kehormat dan para hadirin yang bersama kita di majlis ini. Ucapan terima kasih dan penghargaan juga kepada semua pihak atas segala usaha dan komitmen dalam menjayakan Hari AADK Bersama Masyarakat Tahun 2023 pada kali ini. Semoga usaha ini akan mendapat keredhaan Ilahi serta mendapat sokongan dan memberikan impak yang positif kepada agama dan negara.
24. Dengan kalimah suci “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya merasmikan Hari AADK Bersama Masyarakat Tahun 2023.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI
10 SEPTEMBER 2023