Soalan oleh Tuan Haji Aziz bin Ariffin yang meminta menyatakan apakah punca utama kekurangan stok kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) sehingga menyebabkan pengeluaran Mykid terpaksa ditangguhkan selama 6 bulan dan tempoh menunggu hampir 4 bulan untuk kad tersebut dikeluarkan.
JAWAPAN SAYA BAGI PIHAK KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) bagi bayi baharu lahir di negara ini ditangguhkan selama enam bulan dari Januari 2023 susulan masalah kekurangan bekalan mikrocip yang turut terkesan di peringkat global sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Walau bagaimanapun, permohonan kali pertama Mykid masih boleh dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan JPN berusaha untuk menyelesaikan permohonan yang diterima secara berperingkat. Buat masa ini, Ibu bapa/penjaga dinasihatkan untuk menggunakan dokumen kelahiran yang dikeluarkan oleh JPN bagi sebarang urusan berkaitan kerana dokumen tersebut adalah merupakan dokumen pengenalan diri yang sah dikeluarkan oleh Kerajaan. Agensi Kerajaan dan swasta dimohon untuk menerima Sijil Kelahiran untuk sebarang urusan berkaitan kanak-kanak kerana dokumen itu satu-satunya dokumen rasmi yang diiktiraf Kerajaan bagi urusan penting seperti permohonan sekolah dan sebagainya.