Menjadi harapan semua ahli UMNO untuk melihat UMNO kembali kuat dan dihormati sebagaimana sebelumnya, kata Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau yang memegang nombor calon 38 membuat keputusan untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bagi mempertahankan jawatan tersebut.
“Kekuatan itu bermaksud UMNO kembali diterima bukan sahaja oleh ahli tetaapi yang penting ialah rakyat. Penerimaan rakyat terhadap UMNO penting kerana rakyatlah menjadi penentu kepada masa depan UMNO.
“Maka pimpinan yang dipilih nanti diharap adalah barisan yang benar-benar pejuang tulen parti agar mereka mampu mempertahankan parti dan tidak ada lagi perpecahan pimpinan dalaman yang merugikan parti,” kata Shamsul menerusi video raih undinya.
Tekannya lagi, UMNO ketika ini tidak boleh memaparkan imej yang buruk di mata rakyat akibat daripada ketidaksepakatan dalam kalangan pimpinan parti itu sendiri.
Begitu juga dengan sikap pemimpin yang tidak mengutamakan parti dalam setiap perjuangan mereka sekaligus memberikan imej negatif kepada parti.
“Agenda peribadi atau agenda parti lain tidak boleh lagi wujud dalam pimpinan parti yang akan dibentuk nanti.
“Harapan saya, UMNO akan dilihat jitu padu selepas ini dan penting kepada rakyat dan negara ini,” tambah Shamsul lagi.
Shamsul yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong selain dari memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) pernah mendapat perhatian apabila meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagi menghormati arahan parti yang tidak mahu berada di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/menjadi-harapan-saya-untuk-melihat-umno-kembali-kuat-shamsul-anuar/