Sukarelawan UMNO BiKUM Beri Bantuan Kepada Penduduk Terjejas Banjir
DUNGUN – Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum) Medical Team kini mengadakan misi ke pusat-pusat pemindahan banjir terpilih di Kelantan dan Terengganu bagi memberikan khidmat rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada mangsa-mangsa banjir.
Misi jelajah Bikum Medical Team yang disertai kira-kira 44 ahli termasuk pakar dan pegawai perubatan sudah ke beberapa pusat pemindahan terpilih di dua negeri di pantai timur ini sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, BiKUM Medical Team akan terus bergerak di lokasi-lokasi terpilih banjir untuk memberi khidmat sosial kepada mangsa atau masyarakat.
Menurutnya, bukan sekadar menjalankan pemeriksaan dan merawat tetapi kes-kes tertentu atau teruk akan di bawa dan dirujuk kepada pihak yang lebih pakar.
“Usaha BiKUM Medical Team adalah sebagai menyokong kepada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan lain.
“Dari segi bekalan ubat-ubatan kita turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi termasuk kementerian kesihatan dan ia melalui konsep strategi lautan biru (Nbos).
“Kita faham di luar sana mungkin ramai tidak mampu bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, oleh itu kita akan bantu.
“Peranan ini tim ini bukan sahaja ketika berlakunya bencana alam seperti banjir tetapi khidmatnya berterusan setiap masa,”,”katanya pada sidang media ketika melawat mangsa banjir di SK Durian Mentangau, di sini, hari ini.